
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya Perikatan Nasional dibubarkan dan Muafakat Nasional dihidupkan semula susulan polemik politik yang tercetus di Perlis.
Beliau berkata, usaha memperkasakan Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional sebenarnya telah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung.
“Hari ini baru nampak sikap sebenar, termasuk tindakan menikam dari belakang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Polemik politik Perlis
Polemik politik Perlis tercetus apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri, melibatkan tiga daripada Pas dan lima daripada Bersatu, didakwa menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Situasi itu mencetuskan ketegangan dalaman dalam gabungan berkenaan serta menimbulkan persoalan terhadap kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Perlis.
Tindakan Pas terhadap ADUN terlibat
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Rusila memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terlibat ditamatkan serta-merta berkuat kuasa malam tadi.
Tiga ADUN tersebut ialah Saad Seman dari Chuping, Fakhrul Anwar Ismail dari Bintong dan Mohd Ridzuan Hashim dari Guar Sanji.
Kesan terhadap kestabilan DUN
Susulan pemecatan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan memaklumkan terdapat keperluan mengadakan pilihan raya kecil bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri.
Sebelum ini, Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan Pas pada September 2019 dianggap berakhir apabila Pas memutuskan bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional menghadapi PRU-15.
Keputusan tersebut bertentangan dengan syarat UMNO yang menetapkan Pas perlu meninggalkan Bersatu sekiranya ingin mengekalkan kerjasama dalam Muafakat Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.