
Seorang lelaki maut manakala rakannya mengalami patah tangan selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang pembentungan dalam kejadian di Jalan Pantai, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Muhammad Almadi Hassan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan, Wilyamil Ahajul, 34, mengalami patah tangan.
Kenderaan terbabas dan terjatuh ke lubang pembentungan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.08 pagi.
Menurutnya, seramai 14 anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.
Beliau berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang dan terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang masih dalam proses pembinaan.
Operasi menyelamat dilakukan segera
Sumsoa berkata, terdapat dua mangsa dalam kejadian itu dan operasi menyelamat segera dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam lubang pembentungan sedalam tujuh meter.
Katanya, operasi menggunakan tali serta peralatan pengusung bagi membawa mangsa keluar dari lubang berkenaan.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan.
Mangsa diserah kepada polis, operasi ditamatkan
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, mangsa yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sumsoa berkata, pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.