
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengutus surat terbuka 10 perkara kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menggesa kerajaan perpaduan segera melaksanakan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Umum ke-15 serta menangani isu-isu ekonomi dan kewangan yang menjejaskan keyakinan penyokong PH dan rakyat keseluruhannya.
Dalam surat bertarikh 8 Disember itu, Lim memohon maaf kerana tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden PH minggu ini, sebelum menegaskan wujud “krisis keyakinan” terhadap kerajaan dalam kalangan penyokong PH yang hanya boleh dipulihkan melalui dasar baharu yang menjaga kepentingan mereka tanpa menjejaskan mana-mana pihak lain.
Tambahan 10% Peruntukan Bukan Bumiputera
Beliau menegaskan bahawa PH sebagai pemegang amanah mandat rakyat mesti “jalan terus” menunaikan janji Manifesto PH PRU15 dan “tidak ada jalan lain” selain melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada pengundi.
Menyentuh dasar fiskal dan ekonomi, Lim mengemukakan beberapa cadangan, antaranya peruntukan tambahan 10% kepada bukan bumiputera tanpa mengurangkan peruntukan sedia ada kepada bumiputera, pembekuan atau kajian semula peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta langkah melindungi industri tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam suasana perang tarif global.
Beliau berkata bukan bumiputera kini hanya menerima sekitar 3% geran berbanding jumlah peruntukan kepada golongan bumiputera, sedangkan komposisi penduduk bukan bumiputera di Malaysia adalah kira-kira 30%. Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengekalkan peruntukan khas untuk bumiputera dan menambah 10% peruntukan baharu kepada bukan bumiputera demi perpaduan dan agihan yang lebih adil.
Lim turut mengingatkan peranan PKS yang menyumbang 38% kepada KDNK, dengan sasaran 40% menjelang 2030, menjana 48% pekerjaan dan hampir 13% eksport negara.
Beku atau Kajian Semula Skop SST
Katanya, peluasan skop SST yang dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025 telah “menambahkan beban kos” kepada perniagaan, khususnya PKS, dan sewajarnya dibekukan atau dikaji semula, terutama dalam sektor pembinaan, pendidikan dan sewaan.
Bagi melindungi industri tempatan, beliau mencadangkan semua pelabur dan kontraktor diwajibkan mendapatkan sekurang-kurangnya 50% barangan keperluan daripada pengeluar tempatan.
Bagi industri keluli, beliau mengusulkan pengenaan “SST 10% ke atas bijih besi impot dan tempatan, arang batu kok metalurgi dan kok, serta pemansuhan SST ke atas besi buruk” bagi memastikan “level playing field” antara pemain tempatan dan asing serta menggalakkan amalan lebih mesra alam.
Selesaikan Tunggakan Bayaran Balik Cukai RM20 Bilion
Mengenai bayaran balik cukai tertunggak, Lim mengalu-alukan keputusan kerajaan menaikkan bayaran balik Disember 2025 daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion, namun menyifatkannya masih tidak mencukupi memandangkan jumlah tunggakan mencecah “puluhan bilion ringgit”.
Beliau mengesyorkan RM20 bilion diperuntukkan pada Januari 2026 untuk menyelesaikan semua bayaran balik cukai syarikat tertunggak, sambil menegaskan wang berkenaan “bukan milik kerajaan tetapi milik pembayar cukai”.
Lim juga menggesa kerajaan membekukan caruman 2% KWSP yang dikenakan ke atas pekerja asing dan majikan mereka sejak Oktober 2025, serta mengehadkan cukai 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 hanya kepada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, bukan syarikat tidak tersenarai atau perniagaan rakan kongsi.
Beliau sekali lagi menolak pindaan Seksyen 45F Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang mengenakan penalti RM10,000 ke atas majikan yang gagal memaklumkan kekosongan jawatan atau jawatan baharu kepada PERKESO dalam tempoh tujuh hari.
Lim mengkritik kenyataan PERKESO pada 4 Disember yang mengumumkan moratorium dua tahun sebagai pengakuan bahawa libat urus dengan pemegang taruh tidak dibuat dengan sempurna sebelum rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember.
Katanya, proses kelulusan SIP “tercemar” dan perlu dibetulkan dengan memansuhkan fasal penalti berkenaan di Dewan Negara, atau sekurang-kurangnya mengecualikan PKS dan mengurangkan penalti ke atas syarikat bukan PKS daripada RM10,000 kepada RM100 sahaja.
Tuntutan 40% Hasil Sabah Segera Diselesai
Beralih kepada hubungan persekutuan-negeri, Lim menegaskan tuntutan 40% hasil Sabah mesti diselesaikan dalam masa singkat dan bayaran balik dilaksana segera agar kerajaan persekutuan tidak dilihat sengaja melengah-lengahkan isu itu. Pada masa sama, hak Sarawak juga perlu terus dipelihara.
Bagi isu pematuhan cukai dan peraturan, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian PKS daripada pelaksanaan e-invoicing dan, sementara kajian dilakukan, menaikkan ambang hasil tahunan kepada RM5 juta.
Beliau mengingatkan bahawa peraturan e-invoicing akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026 bagi perniagaan dengan hasil tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Cadangan terakhir Lim ialah penubuhan Tribunal Pembayar Cukai khas bagi individu dan PKS, seumpama Tribunal Tuntutan Pengguna, untuk menangani aduan terhadap penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri yang didakwa tidak munasabah dan mengelakkan akaun bank “dibekukan sewenang-wenangnya”.
Lim menutup surat dengan merakamkan penghargaan sekiranya 10 perkara itu dapat diselesaikan dengan baik, dan menyalin surat tersebut kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook serta Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.