
Malaysia Aviation Group (MAG) telah menempah tambahan 20 buah pesawat Airbus A330neo, sekali gus menggandakan komitmennya kepada 40 buah pesawat. Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang MAG untuk memodenkan armadanya dan mengukuhkan rangkaiannya di pasaran utama Asia-Pasifik.
Tempahan baharu ini memperkukuh perjanjian awal yang dimeterai pada tahun 2022, melibatkan pembelian 10 buah pesawat terus dari Airbus dan penyewaan 10 lagi daripada Avolon.
Dengan jumlah keseluruhan 40 buah pesawat, Malaysia Airlines kini berada dalam kedudukan untuk menjadi salah satu pengendali A330neo terbesar di rantau ini. Penghantaran pesawat bagi kumpulan terbaru dijadualkan antara tahun 2029 hingga 2031.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, menegaskan bahawa A330neo kekal sebagai komponen penting dalam strategi armada dan pengembangan rangkaian syarikat.
“Dengan kecekapan bahan api yang lebih baik dan fleksibiliti operasi untuk laluan jarak dekat dan jauh, pesawat ini sangat sesuai dengan keperluan pasaran kami yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Tempahan tambahan ini mengukuhkan visi jangka panjang kami untuk membina armada masa depan yang menyokong pertumbuhan mampan, memberikan nilai berterusan kepada penumpang, dan meningkatkan daya saing kami di pasaran utama.”
Setakat ini, Malaysia Airlines telah menerima empat buah pesawat A330neo yang kini beroperasi ke destinasi seperti Auckland, Melbourne dan Bali. Enam lagi dijangka tiba menjelang akhir tahun ini, manakala baki daripada tempahan asal akan dihantar secara berperingkat sehingga tahun 2028.
Naib Presiden Eksekutif Jualan Airbus, Benoit de Saint-Exupery, menyifatkan tempahan semula oleh MAG sebagai “undian keyakinan yang kukuh.”
“Kami berbangga dapat mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia Aviation Group ketika mereka terus mengembangkan armada A330neo mereka,” katanya.