
Malaysia akan memanfaatkan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dijadual sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini, untuk menyatakan pendirian tegas bagi menghentikan kekejaman di Gaza.
Sambil mempertahankan jemputan kepada Trump, Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata pihaknya melihat aspek positif daripada kunjungan itu kerana ia memberi ruang kepada Malaysia dan negara-negara ASEAN lain menyatakan pendirian secara langsung.
“Kita menegaskan, berkemungkinan kenyataan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri, semasa pembukaan sidang kemuncak nanti akan menyentuh isu ini.
“Melalui platform itu, kita dapat menekankan sekali lagi bahawa AS sebagai kuasa besar mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keadaan di Gaza diselesaikan segera,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengesahkan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Terdahulu, Hassan Abdul Karim mencelah dalam sesi penggulungan dengan mempersoalkan kewajaran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjemput Trump, sedangkan, menurutnya, “tangan” Presiden AS itu berlumuran darah rakyat Gaza yang tidak berdosa. Beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia akan “menghamparkan permaidani merah” kepada Trump.
Pada masa sama, Mohamad menjelaskan jemputan kepada Trump dibuat atas kapasitinya sebagai ketua negara untuk menghadiri sidang kemuncak ASEAN. Katanya, perkara itu tidak wajar dicampuradukkan, malah kunjungan tersebut boleh dimanfaatkan oleh semua negara ASEAN untuk menyatakan pandangan mereka secara bersemuka.
“Maka saya berpendapat ada baiknya kita bersemuka dalam kalangan negara ASEAN, seperti mana Malaysia dapat menyatakan pendirian ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN.
“Jadi, jangan kita campur adukkan. Di situ nanti, kita percaya dapat membawa suara ASEAN untuk menegaskan bahawa ASEAN sebulat suara kesal terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.
“Jika kita membawa hubungan dua hala ini, kita yakin pihak AS, khususnya Trump, mahu melihat supaya kekejaman yang dilakukan Israel dapat dihentikan,” katanya.