
Kumpulan belia bebas Mandiri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka menjadi dalang atau berperanan sebagai pengaruh asing dalam menggerakkan demonstrasi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi, berkata beberapa individu yang kini ditahan berhubung demonstrasi itu didakwa telah diberi tekanan untuk mengaku menerima sokongan berbentuk dana dan latihan daripada organisasi tersebut. Menurutnya, tahanan turut ditunjukkan gambar yang menggambarkan Mandiri bersolidariti di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, termasuk dakwaan penglibatan individu bernama Riza Chalid.
“Mandiri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akal ini. Mandiri tidak pernah terlibat dalam penyusunan atau perancangan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, berkaitan demonstrasi di Indonesia,” kata Amir dalam kenyataan rasmi.
Amir menambah bahawa tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah berkemungkinan direka untuk mencari kambing hitam atas kegagalan pihak berkuasa di negara terbabit. Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai penghinaan terhadap rakyat Indonesia yang lebih arif mengenai politik domestik mereka.
Amir menyatakan Mandiri bersedia disiasat sepenuhnya dan percaya pihak polis Malaysia mempunyai akses kepada semua maklumat berkaitan aktiviti kumpulan itu, termasuk rekod perjumpaan serta aliran masuk dan keluar dana dalam akaun organisasi.
Beliau menjelaskan lawatan Mandiri ke Jakarta pada April lalu bertujuan memperkukuh jaringan solidariti dan bertemu organisasi-organisasi masyarakat sivil untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau. Aktivis dari Indonesia juga, menurut Amir, sempat mengunjungi Kuala Lumpur pada akhir Julai.
“Perjumpaan sebegini adalah kebiasaan bagi NGO. Tiada sebarang perbincangan berkaitan penganjuran demonstrasi sama ada di Malaysia atau Indonesia,” katanya.
Amir turut menafikan sebarang kaitan antara Mandiri dengan Riza. Beliau berkata sekiranya benar individu tersebut berada di Malaysia, kerajaan tidak wajar melindungi beliau dan sepatutnya menghantarnya pulang untuk diadili.