
Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, menolak dakwaan bahawa keputusan pengerusi Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihanraya Umum 15 dibuat tanpa perbincangan bersama Majlis Tertinggi gabungan.
Menurut Marzuki, keputusan itu dibuat selaras dengan dasar rasmi Bersatu yang enggan bekerjasama dengan DAP, dan bukan tindakan peribadi Muhyiddin.
Marzuki menegaskan Muhyiddin tidak bertindak secara bersendirian ketika memaklumkan penolakan itu kepada Seri Paduka.
Beliau menyatakan bahawa ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 November 2022, Muhyiddin ditemani Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, satu faktor yang menurutnya menunjukkan keputusan tersebut berpaksikan dasar kedua-dua parti yang menolak kerjasama dengan DAP.
Tuntutan berbeza dilontarkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menerusi The Zaid Ibrahim Podcast, yang mendakwa Muhyiddin tidak merujuk atau berbincang dengan Majlis Tertinggi PN sebelum membuat keputusan itu di hadapan Al-Sultan Abdullah.
Wan Fayhsal menyatakan keputusan itu dibuat segera selepas beberapa ketua parti dipanggil menghadap Seri Paduka pada 22 November 2022.
Marzuki berhujah bahawa keputusan menolak cadangan kerajaan perpaduan terbukti wajar berdasarkan prestasi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, apabila gabungan itu mencatat kemenangan besar dengan menguasai beberapa negeri.
Beliau turut membandingkan reaksi penyokong Bersatu dan Umno, dengan menyatakan bahawa penyokong Bersatu kekal setia selepas keputusan tersebut, manakala sesetengah penyokong Umno dikatakan beralih arah.
Selain itu, Marzuki menyifatkan keputusan Muhyiddin dan Abdul Hadi sebagai satu “ijtihad politik” yang tepat, sambil menyindir pihak-pihak yang menurutnya terlalu ghairah mahu kembali berkuasa.
Beliau turut mengkritik amalan politik berteraskan Machiavellian dalam kalangan sesetengah ahli politik yang sanggup melakukan apa saja demi memperoleh kuasa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.