
Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat selepas Perikatan Nasional meluluskan permohonannya untuk menyertai gabungan pembangkang berkenaan.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat akan dipengerusikannya sendiri dalam masa terdekat, namun tarikh belum ditetapkan.
“Saya akan bincang perkara ini dengan Jawatankuasa Kerja Pusat untuk menyertai PN. Kita akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan umum tarikhnya,” katanya pada sebuah majlis di Bukit Kemuning.
Kelulusan PN terhadap permohonan MIC
Khamis lalu, bekas pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin mengesahkan gabungan itu telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai PN.
Beliau berkata PN bersetuju menerima permohonan berkenaan seawal tahun lalu dan kini menunggu keputusan muktamad daripada MIC.
Spekulasi hubungan MIC dan BN
Spekulasi mengenai kemungkinan MIC meninggalkan Barisan Nasional telah berlegar sejak sekian lama, khususnya selepas perhimpunan agung ke-79 parti itu pada November lalu.
Pada perhimpunan tersebut, perwakilan meluluskan usul memberi kuasa kepada kepimpinan parti untuk mempertimbangkan langkah berkenaan susulan rasa tidak puas hati terhadap peranan MIC dalam kerajaan.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno sebelum ini menepis spekulasi itu, dengan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata pihaknya tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada MIC.
Beliau turut menegaskan MIC masih merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.