
Penguasaan Bahasa Kebangsaan oleh semua pelajar, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), merupakan keutamaan penting dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan keperluan menguasai Bahasa Melayu dengan baik tidak bermaksud kerajaan atau Kementerian Pendidikan (KPM) menyekat peluang pelajar mempelajari bahasa ibunda masing-masing atau bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Menurutnya, sistem pendidikan negara memberi ruang kepada kepelbagaian bahasa, namun semua pelajar mesti menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“Saya tetapkan dalam negara ini penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Pada masa sama, kita juga tekankan keperluan untuk bersaing di peringkat global dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.
“Namun, sistem negara kita membolehkan murid di SJK Cina dan Tamil menguasai bahasa Cina dan Tamil dengan baik, dengan syarat semua mesti menguasai Bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama masyarakat Tionghua di SJKC Perting, di sini, hari ini.
Bahasa kebangsaan asas perpaduan pendidikan
Anwar menegaskan tumpuan terhadap Bahasa Kebangsaan bertujuan memperkukuh perpaduan dan kualiti pendidikan, bukan untuk menafikan kepelbagaian bahasa dan budaya dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan semua pelajar memiliki asas bahasa yang kukuh bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan bahawa perbezaan kecil berkaitan bahasa boleh dibincangkan secara berhemah tanpa mengalihkan fokus utama terhadap peningkatan mutu pendidikan.
Peruntukan dan penambahbaikan prasarana sekolah
Dalam majlis sama, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM13.5 juta kepada SJKC Perting bagi kerja baik pulih infrastruktur sekolah.
Daripada jumlah itu, peruntukan segera RM300,000 diluluskan serta-merta bagi membolehkan kerja pra pelaksanaan dimulakan tanpa kelewatan.
Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan kemudahan dan prasarana sekolah berada dalam keadaan baik demi keselesaan dan keberkesanan pembelajaran murid.
Peluang kuasai pelbagai bahasa dan kemahiran masa depan
Mengulas lanjut, Anwar berkata KPM telah diminta menyediakan guru bahasa Cina dan bahasa lain secukupnya, bukan sahaja di SJK, malah di Sekolah Kebangsaan.
Menurutnya, pelajar di Sekolah Kebangsaan juga perlu diberi peluang mempelajari bahasa kedua dan ketiga seperti bahasa Cina, Tamil dan Arab, selaras dengan keperluan masa depan.
“Kita tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan soal bahasa. Keutamaan kita ialah meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita supaya mereka mampu bersaing bukan sahaja dalam negara atau rantau ASEAN, tetapi di peringkat dunia,” katanya.
Beliau menegaskan masa depan negara bergantung kepada usaha memperbaiki sekolah, melatih guru, menyediakan kemudahan yang mencukupi serta memastikan penguasaan bahasa, kemahiran digital, kecerdasan buatan, matematik, sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.