
Tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang didakwa berhasrat menyertai DAP tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan dalam sistem demokrasi negara, sebaliknya merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Penganalisis politik Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik adalah hak setiap individu seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, fenomena peralihan sokongan atau keahlian politik merupakan perkara biasa dalam landskap politik negara kerana ahli dan pemimpin lazimnya akan mencari platform yang dirasakan mampu menjaga kepentingan mereka, sama ada dari segi kebajikan, kedudukan mahupun pengaruh kuasa.
Kebebasan berpolitik dijamin perlembagaan
Mohammad Tawfik menjelaskan bahawa ideologi dan perjuangan sering dijadikan medium untuk mencapai matlamat tertentu dalam politik.
Namun, katanya, tidak dapat dinafikan bahawa maruah atau imej seseorang individu boleh sedikit terjejas apabila memilih untuk menyertai parti seteru, khususnya jika individu berkenaan memegang jawatan penting sebelum ini.
Beliau menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Peralihan politik bukan fenomena luar biasa
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik mengaitkan isu tersebut dengan beberapa contoh terdahulu, termasuk penyertaan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang pernah menjadi ahli Umno, kemudian dilantik sebagai menteri di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat dan dilantik sebagai Ahli Biro Politik parti berkenaan.
Beliau berkata, isu perpindahan parti kebiasaannya hanya mencetuskan reaksi emosi dalam tempoh singkat sebelum keadaan politik kembali reda.
Penyertaan Melayu dilihat perkukuh imej DAP
Dalam konteks DAP, Mohammad Tawfik berpandangan bahawa kemasukan ahli dan pemimpin Melayu boleh dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh imej serta sokongan masyarakat Melayu terhadap parti tersebut.
Menurut beliau, peningkatan penyertaan ahli biasa dan pemimpin Melayu dalam DAP berpotensi menghakis persepsi bahawa parti itu didominasi oleh kaum Cina dan bersifat perkauman.
Beliau turut menyatakan bahawa DAP memberi ruang kepada pemimpin Melayu untuk bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri, Parlimen serta bertanding dan menang sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan sebelum ini menegaskan bahawa usaha menarik penyertaan lebih ramai ahli pelbagai kaum, termasuk orang Melayu, tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa atau dengan mengorbankan prinsip parti.
Syahredzan dipetik sebagai berkata bahawa kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik dan berhati-hati, malah parti itu tidak perlu membawa masuk individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan keahlian.
Mohammad Tawfik berpendapat bahawa penyertaan pemimpin dan ahli Melayu dalam DAP kini semakin dinormalisasi dalam budaya politik negara.
Katanya, apabila pemimpin Melayu diketengahkan di barisan hadapan dan bertanding dalam pilihan raya Parlimen, ia secara tidak langsung menjadi tarikan kepada lebih ramai individu yang melihat keterbukaan tersebut sebagai satu perkembangan baharu dalam politik Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.