
Parti politik atau gabungan sememangnya tidak terlepas daripada pasang surut dan pergolakan dalaman, dan ketika ini tumpuan beralih kepada hubungan antara Bersatu dan Pas yang dilihat semakin diuji.
Perselisihan antara kedua-dua parti itu berlarutan sejak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada September lalu, sebelum menjadi lebih ketara susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Disember.
Sejak perkembangan itu, Pas dilihat menuntut jawatan Pengerusi Perikatan Nasional, yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan tersebut, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Ketegangan semakin memuncak
Keadaan menjadi lebih tegang apabila wujud percanggahan kenyataan antara pemimpin Bersatu dan Pas berhubung isu pelantikan Pengerusi PN, sekali gus menggambarkan hubungan kedua-dua parti berada di persimpangan yang sukar.
Situasi itu mencetuskan kemungkinan PN berdepan risiko perpecahan sekiranya Bersatu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas.
Sumber Bersatu memaklumkan, kepimpinan parti itu bersedia mengambil pendirian tegas sekiranya sebahagian pemimpin Pas terus memainkan sentimen sebagai pihak teraniaya dalam isu berkenaan.
Menurut sumber itu, tindakan Pas yang didakwa didorong oleh kumpulan teknokrat telah memberi kesan mendalam kepada kepimpinan Bersatu, khususnya Muhyiddin.
Isu struktur dan kepimpinan PN
Sumber berkenaan mendakwa, ketegangan bermula apabila Pas dikatakan ingin mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi tanpa menjemput Muhyiddin, selain pertukaran kenyataan susulan ketidaksetujuan Pas terhadap cadangan pembentukan Majlis Presiden PN serta pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Menurutnya, cadangan memansuhkan jawatan pengerusi itu sememangnya pernah dibincangkan sebelum ini bagi memberi tumpuan kepada peranan Majlis Presiden, dengan persoalan timbul mengenai keperluan mempunyai lebih daripada satu platform kepimpinan tertinggi dalam PN.
Beliau turut mendakwa tindakan Pas mencerminkan keinginan kuat parti itu untuk menguasai jawatan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan Bersatu.
Seorang lagi pemimpin Bersatu pula menyatakan secara sinis bahawa langkah Pas mungkin didorong oleh keyakinan terhadap kekuatan jentera dan kedudukan parti itu.
Menurutnya, Pas mempunyai keupayaan bertanding menggunakan lambang sendiri seperti yang dilakukan di Kelantan dan Terengganu, namun PN sepatutnya dikekalkan sebagai jenama kesederhanaan.
Hala tuju alternatif dan pendirian Pas
Pemimpin Bersatu itu turut berpandangan bahawa parti berkenaan lebih sesuai memperkukuh kedudukan bersama Ikatan Prihatin Rakyat dan PNPlus, yang merangkumi gabungan parti politik di luar blok kerajaan.
Ikatan Prihatin Rakyat menghimpunkan beberapa parti termasuk GERAKAN, MIPP, BERJASA, PEJUANG, PUTRA, MUDA, MAP, IMAN dan URIMAI, dengan tema perjuangan Selamatkan Malaysia.
Menurut sumber itu, terdapat parti dalam gabungan berkenaan yang lebih selesa sekiranya Pas tidak memimpin atau tidak terlibat secara dominan.
Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas mengibaratkan hubungan antara Pas dan Bersatu kini berada dalam fasa pasca ribut, dengan proses pemulihan masih berlangsung.
Beliau menegaskan Pas tidak pernah membincangkan atau berniat untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu atau keluar daripada PN, sambil menyifatkan perbezaan pendapat sebagai perkara biasa dalam mana-mana organisasi.
Menurutnya, Pas hanya menyatakan pendirian berdasarkan perkara yang dibincangkan secara rasmi dan tidak akan membuat kenyataan terhadap isu yang tidak diputuskan bersama.
Persetujuan asas, perbezaan pendirian
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menjelaskan bahawa presiden Bersatu dan Pas bersetuju struktur PN perlu diperbaiki dan diperkukuh, termasuk menerima kewujudan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan wujud perbezaan pendirian antara kedua-dua parti berhubung pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Menurutnya, Bersatu berpendirian jawatan tersebut dimansuhkan susulan pembentukan Majlis Eksekutif, yang menyaksikan Majlis Tertinggi PN tidak lagi wujud, sekali gus menjadikan isu pelantikan pengerusi tidak lagi relevan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.