
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan hanya dua atau tiga kerusi masih belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan antara gabungan terbabit.
Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata perbincangan mengenai agihan kerusi yang melibatkan PH, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjalan lancar dan bersifat positif. Beliau, yang juga pengarah pilihan raya PH, menjelaskan walaupun terdapat tuntutan bertindih terhadap beberapa kerusi, rundingan bersama akan diadakan untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Antara PH dan BN, kita sudah hampir selesai — tinggal dua atau tiga kerusi sahaja lagi untuk mengelakkan pertindihan. Sementara PH dan GRS juga hampir selesai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu program di Kota Kinabalu.
Umno Libaran minggu lalu menyuarakan hasrat untuk bertanding semula di DUN Gum-Gum, walaupun perbincangan Sekretariat War Room UMNO dan PH memutuskan kerusi berkenaan diberikan kepada PH. Ketua Umno Libaran, Suhaimi Nasir, dilaporkan berkata tuntutan itu dibuat kerana kerusi tersebut asalnya milik Umno dan parti berkenaan telah menggerakkan jentera di kawasan itu sejak sekian lama.
Pada PRN 2020, BN bertanding di kerusi itu yang kemudiannya dimenangi oleh Warisan melalui calonnya, Arunarnsin Taib.
Saifuddin berkata beliau diberi tanggungjawab sebagai penyelaras rundingan kerusi antara PH dan GRS, serta turut menyelaras rundingan antara PH dan BN.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Zahid Hamidi, menyatakan pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN17, kecuali GRS. Pada 5 Sept, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, dilaporkan berkata gabungannya akan terus berbincang dengan BN dan GRS walaupun kedua-dua pihak memutuskan tiada kerjasama pada PRN Sabah.
Mengulas pertemuannya pagi tadi bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, Saifuddin menyifatkan pertemuan itu sebagai lanjutan kepada beberapa perbincangan peringkat teknikal yang dijalankan sebelum ini.
“Tadi lebih kepada perbincangan secara makro tentang bagaimana sedaya upaya kita cuba mendekatkan jurang bagi mengelakkan sebarang potensi pertembungan. Pertemuan ini berlangsung dengan baik dan sangat produktif,” katanya.
Beliau menambah bahawa hasil pertemuan itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.