
Seramai 19 ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Johor menggesa agar keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu digantung serta-merta, susulan tindakan mereka mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.
Menurut mereka, tindakan sembilan wakil rakyat tersebut bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta membuka ruang kepada eksploitasi politik oleh pihak lawan.
“Sehubungan itu, kami dengan menyeru agar Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, menggantung sementara keahlian kesemua sembilan Ahli Parlimen yang terlibat,” demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan.
Kenyataan tersebut disokong oleh ketua-ketua cabang dari kawasan Mersing, Bakri, Pengerang, Seri Gading, Sembrong, Ayer Hitam, Muar, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tebrau, Pontian, Kluang, Parit Sulong, Tanjung Piai, Pagoh, Segamat, Kota Tinggi, Labis, dan Pulai.
Mereka turut mendesak agar siasatan tatatertib segera dimulakan terhadap sembilan Ahli Parlimen terbabit, termasuk bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Rodziah Ismail (Ampang); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); S. Kesavan (Sungai Siput); dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
Meskipun mengakui pentingnya menjaga integriti institusi kehakiman, kumpulan ketua cabang ini menegaskan bahawa pendekatan yang diambil oleh sembilan Ahli Parlimen tersebut telah melampaui batas disiplin dan bercanggah dengan kod etika parti.
Antara peruntukan etika yang disebut termasuklah menghormati keputusan parti, memelihara kerahsiaan maklumat, menjaga nama baik parti, serta larangan terlibat dalam sebarang bentuk sabotaj terhadap keputusan dan kepimpinan parti.
“Tindakan tegas ini amat penting bagi memelihara integriti parti, memperkukuh semula disiplin organisasi, serta mengelakkan wujudnya persepsi negatif yang boleh menggugat perpaduan dalaman PKR secara menyeluruh. PKR tidak boleh bersikap longgar terhadap aspek tadbir urus dan kesetiaan institusi dalam kalangan anggotanya,” kata kenyataan itu lagi.
Mereka menambah, segala kebimbangan berhubung dasar atau pentadbiran kerajaan seharusnya dikemukakan menerusi saluran dalaman seperti Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP), bukan secara terbuka.
Pada hari Selasa, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut memberi amaran mengenai kesan tindakan sembilan Ahli Parlimen tersebut.
Menurut beliau, mereka perlu mengambil kira implikasi penubuhan RCI, termasuk kemungkinan tekanan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan keseluruhan Kerajaan Perpaduan.
Hassan turut mempersoalkan sama ada tindakan mereka didorong oleh idealisme reformasi yang ikhlas atau hanya bersifat kepentingan politik peribadi. Beliau menekankan perlunya mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kestabilan politik negara.
Kumpulan Ahli Parlimen yang diketuai Rafizi itu sebelum ini menggesa pembentukan RCI dan sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, sebagai respons kepada kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi, termasuk Ketua Hakim Negara — satu keadaan yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan.