
PKR telah menerima nota bantahan daripada Umno berhubung penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz dalam parti itu bulan lalu, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata beliau akan menyemak status surat berkenaan dengan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
“Surat itu sudah lama diterima. Saya perlu menyemak dengan setiausaha agung,” kata beliau ringkas selepas perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan di sini.
Pada 9 Ogos lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, mengesahkan permohonan Tengku Zafrul diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat pada 26 Julai lalu. Beliau kini didaftarkan sebagai ahli PKR Ampang.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, pada 13 Ogos berkata parti itu akan menyampaikan nota bantahan kepada semua parti komponen kerajaan perpaduan yang bercadang atau sudah menerima kemasukan ahli Umno ke dalam parti masing-masing.
Katanya, nota bantahan itu merupakan “amaran keras” kepada komponen kerajaan perpaduan bahawa hubungan dalam gabungan boleh menjadi rumit sekiranya isu tersebut tidak ditangani dengan sewajarnya.
Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno pada 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua Kota Raja.
Beliau menyertai Umno sejak 1997 dan dilihat sebagai seorang teknokrat apabila dilantik Menteri Kewangan dalam kabinet Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 — peranan yang dikekalkan semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Keahliannya dalam Umno hanya menjadi pengetahuan umum menjelang Pilihan Raya Umum 2022 apabila beliau dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, yang gagal dimenanginya.
Beliau meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha gigih untuk memperbaiki parti di negeri itu selepas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri.
Spekulasi tentang beliau meninggalkan Umno mula tersebar pada Disember lalu.
Penggal kedua dan terakhir beliau sebagai senator dijangka tamat pada hujung tahun ini, selepas itu beliau perlu berundur sebagai menteri.