
Pulau Pinang sekali lagi mencatat kejayaan apabila tersenarai dalam 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025 oleh majalah pelancongan antarabangsa, Smart Travel Asia.
Dalam pengumuman berkenaan, Bangkok, Thailand menduduki tempat pertama, diikuti Tokyo, Jepun dan Bali, Indonesia yang berkongsi tempat kedua, manakala Chiang Mai, Thailand ditempatkan di tangga ketiga. Pulau Pinang berkongsi kedudukan ketujuh bersama Singapura dan Siem Reap/Angkor, Kemboja, manakala Kuala Lumpur menduduki tempat kelapan bersama Phu Quoc, Vietnam dan Maldives. Sabah pula tersenarai di kedudukan kesepuluh.
Selain destinasi, Pulau Pinang turut diangkat apabila Hotel Eastern & Oriental (E&O) di negeri itu diiktiraf antara 10 Hotel Perkahwinan Terbaik Asia, sekali gus memperkukuh reputasi negeri ini di pentas antarabangsa.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, berkata pengiktirafan tersebut membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri bersama pemain industri pelancongan membuahkan hasil. Menurut beliau, gabungan tarikan budaya, warisan, kuliner, seni bina serta standard hospitaliti dan promosi yang konsisten menjadi faktor utama menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan pelancong antarabangsa.
“Kedudukan Pulau Pinang dalam senarai ini amat membanggakan. Ia menunjukkan hasil usaha bersama antara kerajaan negeri dan sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wong menambah, pengiktirafan ini dijangka dapat meningkatkan aliran pelancong asing ke negeri berkenaan menjelang tahun hadapan. Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan inisiatif mempromosi Pulau Pinang bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan tetapi juga sebagai lokasi pilihan untuk acara antarabangsa dan perkahwinan bertaraf dunia.
Sebelum ini, Pulau Pinang turut tersenarai dalam kelompok 10 pulau terbaik di rantau Asia Pasifik 2025, memperlihatkan konsistensi negeri ini dalam menarik perhatian pelancong serantau dan antarabangsa.