
RHB Banking Group sedang menjalankan siasatan terhadap seorang kakitangannya yang didakwa memuat naik hantaran di media sosial memaparkan imej suntingan Perdana Menteri berpakaian beridentitikan bendera Israel.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, RHB menegaskan pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sentiasa menegakkan standard profesionalisme, integriti serta rasa hormat yang tinggi, sama ada di tempat kerja mahupun di luar.
“Tindakan disiplin yang bersesuaian akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap kod etika dan tatakelakuan RHB Banking Group,” kata kenyataan itu.
RHB turut menegaskan bahawa pandangan yang disuarakan oleh kakitangan berkenaan adalah pandangan peribadi dan sama sekali tidak mewakili atau mencerminkan pendirian rasmi kumpulan perbankan tersebut.
Hantaran di Facebook itu kini menjadi tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet.
Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pengkritik yang mempersoalkan keputusan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Anwar dalam kenyataannya menjelaskan bahawa jemputan itu memberi peluang kepadanya untuk berbincang secara peribadi dengan Trump mengenai pelbagai isu, termasuk serangan Israel ke atas Gaza yang mendapat sokongan kuat daripada Washington.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.