
Saifuddin Abdullah dipanggil menghadiri sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin Bersatu susulan kenyataannya yang menggesa Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden parti dan pengerusi Perikatan Nasional.
Saifuddin berkata beliau menerima notis perjumpaan pada 1:52 petang dan dimaklumkan sesi bersama ahli jawatankuasa Lembaga Disiplin dijadualkan pada Khamis, 4:30 petang di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
Oleh kerana mempunyai program pada sebelah malam hari berkenaan, Saifuddin memohon sesi itu diawalkan ke jam 2:00 petang, dan permohonan tersebut dipersetujui oleh Lembaga Disiplin, menurut kenyataan ringkas beliau malam ini.
Kenyataan dan kritikan Saifuddin terhadap Muhyiddin dibuat dalam beberapa wawancara media serta kenyataan bersama beberapa ketua bahagian Bersatu sebelum ini.
Susulan kenyataannya, Saifuddin digugurkan sebagai ketua PN Pahang, manakala sayap Pemuda Bersatu menggesa tindakan disiplin segera diambil terhadap beliau dengan alasan kenyataan itu bertujuan merosakkan parti.
Dalam kenyataannya, Saifuddin mendakwa Muhyiddin “sudah kehilangan kualiti kepimpinan” dan bukan lagi pemimpin yang pernah dikenali sebelum ini. Beliau turut menggesa Azmin Ali dan Faisal Ismail Aziz meletak jawatan daripada jawatan tertinggi parti.
Saifuddin juga menuntut penjelasan daripada Muhyiddin mengenai menantunya, Adlan Berhan, yang dilaporkan kini “diburu pihak berkuasa”, susulan tersebarnya gambar menunjukkan Adlan dikatakan hidup mewah di luar negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.