
Singapura meningkatkan tahap kewaspadaan kesihatan awam susulan wabak jangkitan virus Nipah (NiV) di Bengal Barat, India, termasuk melaksanakan saringan suhu badan di lapangan terbang bagi penerbangan dari kawasan terjejas.
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan memaklumkan nasihat kesihatan diedarkan kepada pengembara di pintu masuk negara, manakala langkah pencegahan turut diberikan kepada pelancong yang ke luar negara.
Kementerian Tenaga Kerja pula memperketat pemantauan kesihatan pekerja asing baharu dari Asia Selatan serta melibatkan klinik penjagaan primer bagi meningkatkan tahap kewaspadaan.
CDA menasihatkan pengembara yang mengalami gejala semasa atau selepas perjalanan supaya mendapatkan rawatan segera serta memaklumkan sejarah perjalanan dan kemungkinan pendedahan kepada air nira kurma, kelawar atau individu tidak sihat.
Hospital dan jabatan kecemasan turut diingatkan agar berwaspada terhadap pesakit dengan gejala sepadan dan sejarah perjalanan ke kawasan terjejas.
Virus Nipah merupakan penyakit wajib lapor di bawah Akta Penyakit Berjangkit Singapura, dan semua kes disyaki atau disahkan mesti dilaporkan segera.
Ini merupakan wabak Nipah ketujuh di India sejak 2001. Walaupun penularan biasanya berpunca daripada kelawar atau makanan tercemar, wabak semasa melibatkan jangkitan sesama manusia yang berlaku dalam persekitaran hospital.
Setakat ini dua kes disahkan, tanpa penyebaran komuniti berterusan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.