
Pilihan utama, Jannik Sinner, memastikan kehadiran Novak Djokovic di pentas akhir perseorangan lelaki Wimbledon terhenti buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, selepas menewaskan legenda Serbia itu di Gelanggang Tengah awal pagi tadi.
Pemain muda Itali itu sebelum ini tewas dalam dua pertemuan terdahulu di Wimbledon menentang Djokovic. Namun kali ini, Sinner membalas dendam dengan penuh bergaya apabila ketajaman pukulan, kawalan permainan dan intensiti fizikalnya terlalu ampuh buat juara tujuh kali tersebut, yang kelihatan semakin terkesan dengan faktor usia. Djokovic, kini berusia 38 tahun, tunduk dalam kekalahan 6-3, 6-3, 6-4.
Kini mara ke final Wimbledon pertamanya, pemain berusia 23 tahun itu akan berdepan Carlos Alcaraz dalam satu pertembungan yang amat dinanti-nantikan — ulangan kepada pertarungan epik mereka di Terbuka Perancis baru-baru ini, di mana Alcaraz muncul pemenang selepas pertarungan lebih lima jam, walaupun Sinner ketika itu memiliki tiga mata kejuaraan.
Alcaraz, yang sedang memburu kejuaraan Wimbledon ketiganya berturut-turut, sebelum ini menundukkan wakil Amerika Syarikat Taylor Fritz dengan keputusan 6-4, 5-7, 6-3, 7-6 (8/6) dalam satu perlawanan yang sengit dan mencabar.
“Saya tidak tahu apa yang boleh dijangka – anda semua telah saksikan final yang lalu, ia sememangnya tidak dapat diramal,” kata Sinner, yang menjadi pemain ketiga Itali dalam sejarah mara ke final perseorangan lelaki Wimbledon dan kini berpeluang menjadi juara pertama dari Itali di kejohanan berprestij gelanggang rumput itu.
“Ia satu penghormatan besar untuk berkongsi gelanggang dengan Carlos. Kami sentiasa mencabar diri ke tahap maksimum. Saya gemar menyaksikan permainannya. Semoga perlawanan akhir ini sehebat yang lalu – mungkin bukan lebih baik, kerana saya tidak pasti ia boleh diatasi.”
Sementara itu, Djokovic mengakui kekalahan tersebut mencerminkan realiti baharu dalam kariernya. Beliau berkata bahawa walaupun masih merancang untuk terus bersaing, cabaran fizikal ketika berdepan pemain muda semakin ketara.
“Jika saya berada dalam keadaan cergas sepenuhnya, saya masih mampu bermain dengan baik. Tetapi untuk bertarung dalam format lima set, terutamanya pada usia ini, amat mencabar dari segi fizikal,” jelas Djokovic kepada wartawan.
“Semakin lama perlawanan berlangsung, semakin teruk keadaan fizikal saya. Saya berjaya mara ke separuh akhir kesemua Grand Slam tahun ini, tetapi apabila perlu menentang pemain yang muda dan bertenaga, saya rasa seolah-olah masuk gelanggang dengan tangki minyak yang sudah separuh kosong.
“Inilah realitinya. Saya perlu terima dan menyesuaikan diri dengannya.”