
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan rakaman video terbaru yang mengaitkan beliau dengan skandal perlombongan di negeri itu.
Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani, berkata Kitingan hadir ke pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu tengah hari tadi bagi membantu siasatan. Kitingan juga merupakan presiden STAR.
“Beliau tidak pernah, dalam apa-apa bentuk sekalipun, menyatakan pengetahuan atau menerima dana yang disebut dalam video itu,” kata Anuar dipetik The Star. Menurutnya, Kitingan dijangka akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Anuar menambah parti berpendapat video itu adalah sebahagian daripada satu konspirasi yang bertujuan mencemarkan nama Kitingan. Beliau turut menyatakan kemungkinan rakaman tersebut telah diubah dan dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ini membuktikan wujudnya ketakutan dalam kalangan pembangkang dan pihak tertentu terhadap pendirian politik Kitingan serta landskap politik Sabah yang sentiasa berubah. Mereka sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mengaitkan beliau dengan dakwaan salah laku — yang mana semuanya dinafikan sekeras-kerasnya,” kata Anuar.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan dan mendakwa pemimpin itu menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan tersebut. Terdahulu hari ini, Kitingan menafikan menerima rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau dilaporkan memberitahu portal itu bahawa beliau “tidak benar-benar ingat” mengadakan perbualan dengan Tei, dan bahawa perbualan itu nampaknya berkaitan dengan derma politik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.