
Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa seramai 1,826 barangan dikenakan pengecualian atau kadar sifar di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan peluasan skop yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu.
Jumlah itu melebihi bilangan barangan yang dikecualikan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), iaitu 607 barangan, sebelum sistem percukaian berkenaan dimansuhkan pada 2018.
Anwar berkata barangan yang dikecualikan di bawah SST dan GST merangkumi pelbagai keperluan harian dan barangan yang kerap digunakan rakyat, termasuk makanan mentah atau belum diproses seperti ayam, daging lembu, daging kambing, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan beras.
Menurutnya, pengecualian turut meliputi makanan diproses seperti tepung, gula, garam, roti putih, susu dan minyak masak sawit; selain ubat-ubatan, peranti perubatan serta bahan bacaan.
“SST turut mengecualikan makanan ternakan dan peliharaan, bahan asas pembinaan, baja, racun serta jentera pertanian dan penternakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan R. Yuneswaran (PH–Segamat) yang meminta penjelasan mengenai jumlah dan kategori barangan dikecualikan daripada SST pada 2025 berbanding semasa GST.
Anwar menambah bahawa cukai perkhidmatan dikenakan ke atas kira-kira 70% kategori perkhidmatan dalam ekonomi, berbanding 76% di bawah GST berdasarkan kod dalam Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC).
Menurutnya, pengecualian bagi perkhidmatan asas termasuk bas sekolah, bas ekspres, LRT, kereta api, feri, perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sabah dan Sarawak serta perkhidmatan telekomunikasi prabayar.
Anwar berkata kerajaan komited dan berhati-hati dalam melaksanakan peluasan SST secara bersasar dan progresif, dengan mengambil kira impak terhadap kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan juga menyediakan langkah-langkah yang lebih praktikal dan menyeluruh bagi mengurangkan kesan cukai berganda terhadap kos sara hidup, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Jumlah pengecualian barangan yang lebih banyak dan skop perkhidmatan yang lebih rendah di bawah SST berbanding GST menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta memastikan kemampanan fiskal negara yang lebih kukuh selaras dengan teras Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Kerajaan meluaskan skop SST mulai 1 Julai lalu, yang dianggarkan mampu menambah hasil sebanyak RM5 bilion bagi separuh tahun ini dan RM10 bilion pada 2026.