
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menegaskan rakyat tidak patut menjadi mangsa persengketaan politik yang seolah-olah tiada penghujung, sedangkan negara memerlukan tenaga dan kekayaan ditumpukan kepada kerja yang lebih produktif.
Baginda bertitah sikap negatif sedemikian hanya akan merosakkan hubungan harmoni sesama manusia dan berpotensi menjejaskan keseimbangan hubungan antara kaum dan agama. Oleh itu, semua pihak diingatkan supaya menggunakan akal secara bijaksana demi kelangsungan negara-bangsa.
“Allah mengurniakan manusia akal untuk berfikir. Berfikirlah secara bijak. Manusia bijaksana akan mentafsirkan ciptaan Ilahi yang pelbagai sebagai aset berharga. Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa hendaklah diterima sebagai rahmat kekayaan kurniaan Ilahi di bumi ini,” titah baginda.
Baginda menegaskan amat malang kepada tamadun sesuatu bangsa dan amat merugikan peradaban manusia sejagat jika kelainan dan perbezaan dilihat melalui lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka.
Titah itu disampaikan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Perak dalam Sambutan Ulang Tahun Ke-69 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Teks titah baginda telah dikeluarkan di sini.
Sultan Nazrin menekankan semangat permuafakatan yang diasaskan serta dicapai oleh barisan pemimpin ketika membentuk negara merdeka yang berdaulat harus terus dihormati. Sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat muafakat perlu ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan negara yang aman, harmoni dan makmur.
“Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen pelbagai ini berjaya digabung dan dicantumkan sehingga terbinanya Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera,” titah baginda lagi.
Selain itu, Sultan Nazrin mengingatkan masih banyak perkara perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat, terutamanya golongan daif dan miskin di negara ini. Baginda juga merujuk ayat ke-13 Surah al-Hujurat yang bermula dengan seruan “wahai umat manusia”, menegaskan seruan itu ditujukan kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama.
“Allah menyeru manusia yang berbangsa dan bersuku puak saling berkenalan dan beramah-mesra, selain melarang daripada bersengketa dan bermusuhan,” titah baginda sebagai pesanan agar perpaduan terus diperkukuh demi kebaikan bersama.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.