
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan permohonan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah diterima kira-kira dua minggu lalu.
Beliau berkata beliau kini berdaftar sebagai ahli PKR di Cawangan Ampang.
“Saya tidak ingat tarikh tepat penerimaan permohonan, tetapi ia berlaku semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti dua minggu lalu,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini ketika mengadakan lawatan ke Pavilion Malaysia sempena Expo 2025 Osaka.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan niatnya untuk menyertai PKR. Menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan UMNO, beliau memaklumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi, melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta menarik diri daripada keahlian UMNO.