
Antara 1 Januari hingga 9 Julai 2025, Thailand mencatatkan 175,477 kes jenayah siber, dengan purata 919 kes setiap hari. Jumlah kerugian mencecah 14.87 bilion baht, tetapi hanya 2% berjaya dibekukan.
Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) mendedahkan lebih 80% kes melibatkan sindiket dari Poipet, Kemboja—khususnya penipuan pembelian dalam talian (56%), pemindahan wang (26%) dan pinjaman palsu (7%).
Operasi besar-besaran “Tangkapan Akaun Keldai: Buru Penaja Kewangan Kemboja” dilancarkan, menyasarkan 19 lokasi di Bangkok, Samut Prakan dan Chonburi. Tumpuan utama adalah Kok An, pemilik Crown Casino, yang kini dikehendaki atas jenayah rentas negara dan pengubahan wang haram.
Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan Interpol untuk waran merah dan merancang pendakwaan antarabangsa bersama Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO).
Kok An dan Ly Yong Phat, kedua-duanya tokoh ekonomi Kemboja yang berpengaruh dan rapat dengan rejim pemerintah, dipercayai menggunakan kasino sebagai pusat penipuan berskala besar. Mereka juga dikaitkan dengan ahli politik dan pegawai tinggi Thailand.
Keretakan hubungan politik meletus selepas perbualan telefon melibatkan PM Paetongtarn dan tokoh Kemboja bocor. Thaksin mendakwa anaknya dihina oleh Hun Sen, sambil mendedahkan hubungan rapat mereka dengan sindiket penipuan.
Beliau turut kaitkan syarikat Huione yang disenarai hitam AS dengan cucu saudara Hun Sen.
Sekatan sempadan Thailand kini menjejaskan operasi kedua-dua taikun ini, dengan trafik ke kasino Kemboja menurun drastik.