
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pulau Pinang telah menjalankan operasi khas di sekitar Kepala Batas pada Selasa lalu.
Serbuan di enam premis membawa kepada rampasan 71,000 botol produk tradisional tidak berdaftar, lebih 500 bungkusan bahan mentah disyaki mengandungi racun berjadual, dan dua unit mesin, dengan nilai anggaran RM5.2 juta.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, operasi ini membuktikan komitmen Kementerian Kesihatan dalam menangani aduan awam dan membanteras penjualan produk tidak berdaftar atau bercampur racun.
“Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan iklan atau testimoni di laman web, media sosial dan aplikasi e-dagang yang membuat dakwaan perubatan tidak munasabah,” katanya.
Hukuman:
- Memiliki racun berjadual untuk jualan tanpa lesen adalah kesalahan di bawah Akta Racun 1952, boleh didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
- Menjual produk atau kosmetik tidak berdaftar melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Jualan Ubat 1952.
- Kesalahan pertama: denda sehingga RM25,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
- Kesalahan seterusnya: denda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
- Syarikat: denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama, dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran ubat atau kosmetik melalui laman NPRA di https://www.npra.gov.my atau hubungi 03-7883 5400.
Kempen “Tolak Ubat Tidak Sah” (TOBaTS) diperkenalkan tahun lalu bagi membanteras bekalan dan jualan ubat-ubatan haram. Maklumat lanjut di https://pharmacy.moh.gov.my/tobats.
Orang awam digalakkan membuat aduan mengenai produk mencurigakan melalui https://moh.spab.gov.my, cawangan penguatkuasaan farmasi berdekatan atau hubungi 03-7841 3200.