
UMNO menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan parti politik Melayu yang baharu pada masa ini, sebaliknya semua pihak diseru kembali bersatu dalam satu wadah besar yang telah sedia ada bagi memperkukuh perjuangan serta kedudukan orang Melayu.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, jelas memperlihatkan kerapuhan sebuah parti yang masih baharu dalam arena politik negara.
Beliau menjelaskan, kepimpinan parti berkenaan dilihat lebih bergelut dengan isu perebutan jawatan berbanding memberi tumpuan kepada keperluan serta cabaran sebenar rakyat.
Penyatuan lebih utama daripada menubuhkan parti baharu
“Kita tidak perlu menubuhkan satu lagi parti Melayu. Apa yang lebih penting ialah menyatukan semula orang Melayu dalam satu wadah besar yang sudah sedia ada.
“Kita tahu bagaimana Bersatu terbentuk dan kewujudan parti baharu mungkin hanya akan menyebabkan perpecahan berterusan dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Ya, keadaan itu juga berlaku kepada UMNO, tetapi UMNO ialah sebuah parti lama, bukan parti baharu seperti Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu hadapan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan dilaporkan berkata, selain wakil rakyat terbabit, platform politik baharu itu turut dijangka disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang telah menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut tersebut.
UMNO terbuka menerima semula ahli
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menegaskan UMNO terbuka menerima mana-mana ahli Bersatu yang mahu kembali bersama parti itu.
“Kita mulakan dengan langkah penyatuan terlebih dahulu. Selepas itu barulah kita fikirkan hala tuju seterusnya demi memastikan orang Melayu kekal kuat dan bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.
Keputusan PRN di tangan pucuk pimpinan
Mengulas mengenai masa paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengakui keadaan semasa dilihat sebagai waktu yang baik untuk pilihan raya diadakan, susulan perpecahan dalam Bersatu yang turut menjejaskan imej serta kestabilan Perikatan Nasional.
“Kalau dilihat memang ini waktu terbaik, tetapi banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Apa pun, keputusan itu hanya boleh dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.