
Polis Melaka menjelaskan wanita yang dikatakan ditolak masuk ke IPD Jasin bukan dihalang daripada membuat melapor polis, tetapi dinasihat pulang menukar pakaian kerana bukan dalam situasi kecemasan.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku pada 8 Disember kira-kira jam 5 petang apabila dua wanita datang ke IPD selepas terlibat kemalangan, tetapi mereka dihalang masuk balai sebab berpakaian kurang sopan.
“Anggota hanya menasihat mereka pulang dahulu menukar pakaian sesuai kerana kod pakaian premis kerajaan mesti dipatuhi selagi tidak melibatkan kecemasan kritikal,” katanya.
Beliau berkata kedua-duanya tidak cedera dan mampu menguruskan diri sendiri.
Pada jam 5.40 petang, wanita terbabit kembali bersama ibunya dengan pakaian lebih sopan dan dibenarkan membuat laporan seperti biasa.
Dzulkhairi menegaskan PDRM sentiasa mengutamakan kebajikan orang awam, namun garis panduan kerajaan tetap perlu dihormati bagi menjaga imej perkhidmatan awam.
“Polis beri kelonggaran jika situasi benar-benar kecemasan. Orang ramai dinasihat tidak berspekulasi atau timbul kekeliruan mengenai garis panduan kod pakaian,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.