
Parti Warisan mengecam tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, yang didakwa lebih gemar menyerang parti lawan berbanding menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab utamanya iaitu menangani kenaikan kos sara hidup rakyat, khususnya di Sabah.
Naib Presiden Warisan, Junz Wong, berkata Ahli Parlimen Papar itu sepatutnya berhenti membuang masa menyerang pembangkang sedangkan rakyat Sabah semakin terhimpit dengan beban kos sara hidup yang kian meningkat.
Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru menzahirkan kekecewaan apabila menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, menteri berkenaan didakwa lebih sibuk bermain politik daripada membantu rakyat.
“Ketika Armizan sibuk berpolitik, rakyat Sabah bergelut membeli beras, telur, minyak masak, susu, tepung dan ubat-ubatan. Semua barang ini jauh lebih mahal di sini berbanding di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Harga tinggi berpunca daripada masalah struktur
Menurut Junz, isu harga barang yang tinggi di Sabah bukan perkara baharu. Masalah itu berpunca daripada faktor struktur seperti kebergantungan terhadap barangan import, kelemahan infrastruktur, pasaran yang tidak tersusun serta aliran perdagangan yang tidak seimbang.
“Sejak memegang portfolio kos sara hidup pada Julai 2023, beliau masih gagal menunjukkan sebarang penambahbaikan yang ketara. Apa yang kita dengar hanyalah slogan kosong seperti ‘kami sedang memantau’ dan ‘kami ada pelan tindakan’, tetapi tiada hasil yang jelas,” dakwanya.
Program bantuan tidak membawa hasil
Junz turut mendakwa pelbagai program bantuan dan subsidi yang diumumkan oleh menteri berkenaan hanyalah retorik politik yang tidak berkesan dan bersifat terpilih.
“Setiap kali pengumuman dibuat, ia penuh dengan gimik tetapi tidak membawa kelegaan sebenar kepada rakyat. Rakyat Sabah tidak mempolitikkan isu ini; mereka benar-benar menderita. Setiap hari, keluarga berdepan harga yang semakin meningkat untuk barangan asas seperti beras, telur, kopi, roti dan ayam.
“Daripada mengakui kesusahan rakyat, Armizan menolak kritikan sebagai mainan politik dan menyalahkan fenomena global sebagai punca utama kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.