
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan keputusan PAS menggugurkan serta-merta keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis membuktikan prinsip, disiplin dan amanah perjuangan sentiasa dijunjung tinggi.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata tindakan PAS Pusat menunjukkan komitmen parti terhadap nilai tersebut.
Mesyuarat PAS Pusat semalam memutuskan untuk melucut keahlian tiga ADUN parti itu di Perlis iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Isu itu timbul susulan dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.
Berita Harian sebelum ini melaporkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan dijadualkan mengadakan sidang media di Pejabat Speaker di Kompleks Seri Putra, Kangar pada jam11 pagi ini.
Difahamkan Mohd Shukri dijangka menghadap Raja Perlis bersama beberapa ADUN pada tengah hari ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.