
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memandang serius sambutan “keterlaluan” yang diberikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sewaktu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Muhyiddin menyatakan bahawa sambutan yang “penuh kemeriahan, keceriaan dan simbolik yang berlebihan” itu menimbulkan persoalan besar, iaitu adakah Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukan prinsip kemanusiaan?
Beliau mengulangi peringatannya di Dewan Rakyat sebelum ini, bahawa tidak wajar Trump diberikan sambutan meriah di bumi Malaysia tatkala rakyat Palestin sedang bermandi darah dan mati kebuluran di bumi Gaza.
Muhyiddin berkata, sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang secara terbuka bersekongkol dengan rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Apatah lagi tindakan Perdana Menteri yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin,” tambahnya.
Beliau mengkritik Perdana Menteri yang sering berapi-api mengutuk kekejaman Israel dan konco-konconya. Namun, semangat itu katanya, “tiba-tiba luntur” digantikan dengan senyuman lebar dan sambutan hangat terhadap individu yang menyokong rejim Zionis Israel.
Muhyiddin menyimpulkan bahawa Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel. Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah “amat memalukan” Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.