
MELAKA: Kerajaan negeri terus memilih pendekatan perpaduan dengan memperkukuh kebersamaan serta meraikan kepelbagaian sebagai teras kekuatan Melaka.
Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, berkata perbezaan bahasa dan adat resam bukan penghalang untuk memantapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Sebaliknya, beliau menegaskan penduduk berkongsi identiti sama sebagai anak Melaka.
Menurutnya, semangat kekitaan itu menjadi tunjang utama dalam memastikan keharmonian terus subur dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Perpaduan sebagai asas pentadbiran negeri
Beliau berkata, Melaka dibina atas semangat muafakat dan saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai Ketua Menteri, tanggungjawab beliau bukan sekadar mentadbir dan merangka dasar, tetapi memastikan rakyat merasai kehadiran kerajaan dalam kehidupan seharian.
Atas dasar itu, beliau mengilhamkan gagasan Melaka Sayang Rakyat, MeSRa, yang disifatkan bukan sekadar slogan, sebaliknya pendekatan pentadbiran yang memberi penekanan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, malam tadi.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Ibrahim Durum, EXCO Kanan Negeri, Rais Yasin, EXCO Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Ngwe Hee Sem, serta ADUN Klebang yang juga pengerusi bersama sambutan itu, Lim Ban Hong.
Komitmen bantu rakyat pelbagai lapisan
Ab Rauf berkata, melalui MeSRa, kerajaan negeri komited membantu anak muda yang sedang mencari pekerjaan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Selain itu, peniaga kecil dan usahawan mikro turut diberi sokongan bagi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Golongan warga emas pula terus disantuni melalui pelbagai inisiatif kebajikan, manakala keluarga yang terkesan akibat cabaran ekonomi dibantu bagi meringankan beban mereka.
Beliau turut menegaskan setiap aduan dan permintaan rakyat akan diperhalusi bersama kepemimpinan negeri supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Projek tebatan banjir tunjuk hasil positif
Mengulas isu banjir kilat yang membimbangkan penduduk, Ab Rauf berkata tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan pengurangan ketara insiden air naik di beberapa kawasan terjejas.
Menurutnya, usaha berterusan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menangani isu rakyat secara menyeluruh dan berfokus, bukan sekadar bersifat bermusim.
Beliau berkata Melaka yang dihuni kira-kira 1.05 juta penduduk terdiri daripada 72.8 peratus Melayu, 21.1 peratus Cina, 5.5 peratus India serta kaum lain, adalah sebuah negeri yang dibangunkan oleh masyarakat pelbagai latar belakang dengan cita-cita yang sama.