
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, mengesahkan telah merakam keterangan seorang bekas menteri Kerajaan Madani berhubung siasatan perjanjian mega kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata setakat ini seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan.
“Setakat ini SPRM sudah memanggil 12 individu daripada kementerian terbabit, antaranya Ketua Setiausaha kementerian dan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Enggan ulas individu tertentu
Ketika ditanya sama ada Rafizi Ramli turut akan dipanggil bagi memberi keterangan, Azam enggan mengulas lanjut perkara itu.
Bagaimanapun, BH melaporkan bahawa menteri yang dirakam keterangan ialah bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
BH dilaporkan sedang mendapatkan kenyataan daripada Tengku Zafrul berhubung perkara berkenaan.
Bekas pembantu bukan saksi
Dalam sidang media sama, Azam turut mengesahkan bahawa bekas pembantu kepada Rafizi yang dikehendaki SPRM bukan saksi bagi siasatan perjanjian mega Kementerian Ekonomi.
Sebaliknya, beliau menjelaskan individu berkenaan adalah orang yang dikehendaki dalam kes terbabit dan perlu segera pulang ke Malaysia untuk dirakam percakapan.
“Saya tidak katakan dia seorang saksi dan dia perlu segera pulang ke Malaysia untuk dirakam percakapan.
“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang maklum balas daripadanya dan disebabkan itu kita mengeluarkan pernyataan media kerana beliau perlu pulang dari United Kingdom,” katanya.
Terdahulu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesan penganalisis politik, Chai Jin Shern, yang juga bekas pembantu kepada Rafizi, bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kes yang sedang disiasat tidak didedahkan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Abd Halim di talian 017-5046503.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.