
Kerajaan kini berada pada fasa terakhir memperhalusi kriteria kelayakan bagi subsidi bersasar RON95, dengan perincian dijadual diumum sebelum akhir September.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan beberapa langkah sedang dilaksanakan untuk menetapkan kriteria berkenaan, antaranya menilai semula penggunaan kriteria yang dipakai bagi diesel, memperincikan syarat kelayakan bersama pihak berkepentingan, serta menggunakan Pangkalan Data Utama sebagai rujukan.
Menurut MoF, pendekatan yang lebih inklusif wajar diambil memandangkan penggunaan RON95 dalam kalangan rakyat jauh lebih meluas berbanding diesel. “Kelayakan subsidi tidak semestinya terhad kepada 85% daripada rakyat. Malah, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan akan mengkaji opsyen agar sekurang-kurangnya 90% atau lebih tidak terkesan ketika pelaksanaan penyasaran subsidi RON95,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong.
Wee bertanya mengenai indikator dan asas penentuan yang akan digunakan kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam kategori dikenali sebagai T15, iaitu kumpulan yang tidak layak menerima subsidi.
Selain kriteria kelayakan, kerajaan turut meneliti kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi bersama pihak berkepentingan, termasuk ujian penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak. Menerangkan mekanisme MyKad, MoF berkata terminal pembaca kad yang disediakan kerajaan akan disambungkan kepada pangkalan data berpusat bagi mengesahkan kelayakan dan kuota.
“Jika layak, rakyat boleh membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter; jika tidak, pembayaran dibuat mengikut harga di pam tanpa subsidi,” jelas MoF, sambil menambah bahawa kaedah sama sedang digunakan untuk penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA). “Pengalaman pelaksanaan SARA membuktikan penggunaan MyKad berkesan dan diyakini rakyat dalam menentukan kelayakan subsidi.”
Pilihan lain yang sedang dikaji termasuk pembelian minyak bersubsidi terus di pam tanpa perlu ke kaunter pembayaran, serta penggunaan aplikasi syarikat minyak. “Kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik bagi menentukan golongan yang wajar dikenakan harga di pam, termasuk berdasarkan pendapatan tinggi atau pemilikan kereta mewah,” katanya.
MoF turut memaklumkan, konsep penyasaran dua harga berasaskan kelayakan yang dilaksanakan sejak Jun 2024 bagi diesel menunjukkan bekalan kekal stabil, operasi stesen berjalan lancar, dan penguatkuasaan dipertingkat bagi mencegah ketirisan.