
Presiden Umno Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan bahawa parti itu berdepan risiko “tutup kedai” dalam tempoh 20 tahun akan datang sekiranya corak sokongan rakyat kekal seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata, ahli Umno khususnya barisan pelapis perlu mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa bagi menangkis persepsi serta prasangka negatif terhadap parti.
“Jika rakyat, khususnya pengundi, membuat keputusan sama seperti PRU lalu, saya bimbang dalam tempoh 20 tahun akan datang kita akan perlahan-lahan menutup kedai politik Umno, walaupun produk yang dijual sebenarnya baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Pertama Sekolah Patriotik Umno.
Persepsi negatif jejaskan sokongan pengundi
Zahid menjelaskan, persepsi dan prasangka negatif menyebabkan pengundi baharu yang pada awalnya ingin mengenali Umno akhirnya menjauhkan diri daripada parti itu.
Menurutnya, kebangkitan Umno hanya dapat dicapai sekiranya persepsi negatif berkenaan berjaya diubah secara menyeluruh.
“Keluarbiasaan itu mesti diwujudkan. Ia bukan sekadar slogan atau retorik, tetapi wajib diterjemahkan melalui tindakan sebenar,” katanya.
PRU16 dibayangi tempoh terdekat
Dalam ucapannya, Zahid turut membayangkan PRU16 mungkin diadakan dalam tempoh seawal 12 bulan dari sekarang.
Beliau berkata, Umno mempunyai jangka masa antara 12 hingga 18 bulan untuk melakukan perubahan, dan keadaan akan menjadi amat sukar apabila menghampiri 22 bulan.
“Ini bermakna kita akan berdepan PRU16. Setiap tahun terdapat kira-kira 500,000 pengundi baharu, dan dari PRU lalu hingga PRU16, jumlah pengundi kali pertama mencecah 2.5 juta orang,” katanya.
Peranan Patriot SPU dan hala tuju BN
Zahid berharap 158 produk Patriot Sekolah Patriotik Umno mampu berperanan sebagai pemikir baharu untuk menganalisis, merumus serta memberi pandangan strategik kepada kepimpinan Umno.
Beliau berkata, pandangan itu termasuk perkara wajib yang perlu dilakukan Umno dan Barisan Nasional dalam tempoh 20 tahun akan datang, ketika gabungan itu menuju usia 100 tahun, termasuk menilai semula jenama BN agar kekal relevan dalam kalangan pengundi.
Zahid turut menzahirkan harapan agar produk Patriot SPU dapat melahirkan barisan pelapis kepimpinan serta mencorakkan landskap politik negara pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.