
Serbuan pihak polis terhadap satu perhimpunan gay di Kelantan disifatkan sebagai satu perkara memalukan kerana berlaku di negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada usaha pihak berkuasa membanteras aktiviti songsang itu, bukan semata-mata menjaga persepsi awam.
“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018 atau parti Halloween lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Oktober 2022.
“Di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023, bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin, tentu ia tidak memalukan.
Pada Khamis, Polis Kelantan mengesahkan telah menyerbu satu perhimpunan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di kawasan Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan jam 1 pagi berdasarkan maklumat awam dan risikan oleh pasukan khas.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, menyatakan penghargaan atas tindakan tegas polis, menyifatkan ia sebagai langkah menjaga maruah negeri.
Beliau turut menggesa agar kerajaan negeri diberi ruang menggubal undang-undang yang lebih ketat bagi menyekat gejala tidak bermoral itu.
“Usaha ini wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang ini benar-benar lenyap dari Kelantan.
Kita berharap pihak polis terus konsisten membanteras budaya ini sampai ke akar umbi.”
Tambah beliau, Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti wanita atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.
“Justeru, kerajaan negeri perlu meneliti ruang perundangan yang masih boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang yang lebih berkesan, namun tetap selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”