Premier Sarawak, Abang Johari Openg, menyindir DAP susulan kritikan parti itu terhadap projek infrastruktur kerajaan negeri. Beliau menyifatkan lambang roket DAP sebagai roket yang tidak pernah berlepas.
Sindiran itu dibuat ketika beliau mengulas hasrat Sarawak melancarkan satelit sendiri.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri pernah didekati duta Arab Saudi dan Rusia untuk membincangkan potensi kerjasama pelancaran roket, berikutan kedudukan Sarawak yang berhampiran garisan Khatulistiwa.
“Kami sebenarnya tidak begitu berminat dengan roket. Di sini pun sudah ada roket, tetapi sekadar gambar. Ia memecahbelahkan rakyat.
“Roket sama itulah yang menyuruh kita menghentikan projek Tanjung Embang dan Transit Aliran Autonomi (ART). Roket itu tidak pernah berlepas, masih di takuk lama,” katanya seperti dipetik Dayak Daily.
Tanjung Embang ialah cadangan projek pelabuhan laut dalam baharu, manakala ART bertujuan menambah baik sistem pengangkutan awam di Kuching.
Lebih minat satelit sendiri
Berucap pada persidangan perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Abang Johari berkata Sarawak lebih berminat membangunkan keupayaan satelit sendiri berbanding melaksanakan pelancaran roket.
Kritikan DAP Sarawak
Kenyataan itu menyusul kritikan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menggesa kerajaan negeri menghentikan pembangunan lanjut projek ART.
Chong turut mahu kerajaan negeri menilai semula cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu Kuching dan membatalkan projek pelabuhan laut dalam.
Beliau membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan kerajaan negeri dan defisit belanjawan yang dicatatkan secara berturut-turut.
Cadangan hadkan jawatan premier ditolak
Dalam perkembangan berasingan, Abang Johari menolak cadangan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) supaya tempoh seseorang menyandang jawatan premier dihadkan kepada dua penggal.
“Dari mana datangnya cadangan itu? Ia tiada kena-mengena dengan kami,” katanya.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan premier kepada dua penggal merupakan antara janji pilihan raya PBDS. Janji itu bertujuan mengelakkan seseorang memegang jawatan tersebut terlalu lama.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.