
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh, menyindir MIC kerana dilihat tidak konsisten dalam keputusan politik berkaitan isu keluar dari Barisan Nasional (BN).
Kritik Pendirian Politik MIC
Melalui hantaran di Facebook, Akmal menyifatkan MIC tiada pendirian apabila menyatakan hasrat menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi masih menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada masa sama.
Beliau menambah, tindakan sedemikian mencerminkan kekeliruan dan ketidaktegasan dalam pendirian politik parti itu.
Akmal memerli, “Yang mabuk ini, bila ada pihak cakap mahu keluar tetapi akhirnya tidak keluar walaupun Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sudah bersetuju untuk keluar.”
“Yang mabuk ini juga, bila mahu menyertai PN tetapi pada masa sama masih mahu kekal menyokong Perdana Menteri. Ini tahap mabuk paling tinggi,” katanya pada Isnin.
Ulasannya itu merujuk laporan berita bertajuk “Zahid yang mabuk kuasa, bukan kami” yang memetik kenyataan Pemuda MIC.
Respon Terhadap Bidasan Pemuda MIC
Laporan tersebut memetik Ketua Pemuda MIC, K Arvind, yang membidas kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Arvind dilaporkan mengingatkan BN agar tidak bersikap ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’ berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu.
Menurut Arvind, jika benar soalannya adalah demikian, maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan UMNO itu sendiri.
Peringatan Daripada Pengerusi BN
Pada Ahad, Ahmad Zahid memaklumkan BN masih belum menerima surat rasmi daripada MIC mengenai usul parti itu untuk keluar dari gabungan tersebut.
Zahid turut mengingatkan parti komponen BN agar berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah lama dianggotai, lebih-lebih lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.