
Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menegaskan pasukannya kini memiliki kekuatan mental yang jauh lebih baik berbanding musim lalu selepas bangkit mencatat keputusan seri 2-2 menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium City Ground.
United pada awalnya dilihat mampu meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam liga buat kali pertama sejak Februari 2024 apabila tandukan Casemiro meletakkan mereka di depan pada babak pertama. Namun, dua gol pantas Forest dalam tempoh dua minit mengubah rentak perlawanan sebelum Amad Diallo muncul penyelamat menerusi voli menarik yang memastikan satu mata buat pasukan pelawat.
Amorim, yang meraikan ulang tahun pertama pelantikannya sebagai pengendali United semalam, berkata skuad bimbingannya kini menunjukkan semangat juang berbeza berbanding musim sebelumnya.
“Kami kehilangan kawalan permainan selama lima minit, tetapi saya dapat rasakan kesungguhan para pemain – sama ada ketika latihan mahupun dalam perlawanan hari ini. Musim lalu, jika kami dibolosi dua gol pantas, kami tidak akan mampu bangkit. Namun hari ini keadaannya berbeza. Walaupun kami tahu sukar menang, kami juga yakin tidak akan kalah. Itulah perasaan yang sepatutnya dimiliki pasukan besar,” katanya.
Kemenangan sepatutnya membawa United naik ke tangga kedua liga – satu peningkatan besar berbanding kedudukan ke-15 yang mereka tamatkan musim lalu.
“Keyakinan kami kini sangat berbeza. Kami datang dengan tiga kemenangan berturut-turut dan para pemain kini lebih memahami antara satu sama lain. Dalam perlawanan, ada masa kami mendominasi dan menjaringkan gol, kemudian lawan bangkit. Tetapi kami mampu pulih, dan itu satu petanda positif,” tambah Amorim.
Maresca kekal percaya pada Joao Pedro
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca menegaskan beliau tidak pernah hilang keyakinan terhadap penyerang Brazil, Joao Pedro, selepas pemain itu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa gol dengan meledak jaringan kemenangan ketika menundukkan Tottenham Hotspur 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Joao Pedro sebelum ini bergelut dengan kecederaan dan masih perlu diurus dengan berhati-hati. Menurut Maresca, pemain berusia 23 tahun itu belum bersedia untuk berlatih sepenuhnya setiap hari.
“Joao tidak pernah menjadi masalah. Isunya hanya dia tidak dapat berlatih setiap hari kerana ada sedikit masalah yang perlu kami kawal,” katanya.
Jurulatih Itali itu turut mengalu-alukan kepulangan penyerang muda Liam Delap yang kembali daripada penggantungan, dan menyifatkan kehadirannya akan memperkukuh pilihan di bahagian serangan.
Maresca turut memuji aksi Moises Caicedo yang menjadi kunci kemenangan apabila berjaya merampas bola daripada pemain Spurs sebelum mencipta peluang untuk Joao Pedro menjaringkan gol tunggal pada minit ke-34.
“Moi menunjukkan betapa hebatnya dia. Dia memang pemain terbaik. Paling saya hargai, dia seorang yang merendah diri, baik dan sentiasa membantu rakan sepasukan. Bagi saya, dia dan Rodri adalah dua pemain tengah bertahan terbaik di dunia,” kata Maresca.
Arsenal kukuh di puncak selepas tundukkan Burnley
Arsenal mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Burnley 2-0 di Turf Moor, hasil keampuhan taktikal mereka dalam situasi bola mati.
The Gunners membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi gerakan sepakan penjuru Declan Rice dan Gabriel Magalhaes sebelum Viktor Gyokeres menyudahkan hantaran dekat untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Pasukan kendalian Mikel Arteta kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-35 apabila serangan balas pantas disudahkan Rice dengan tandukan kencang menewaskan Martin Dubravka.
Burnley gagal melakukan sebarang percubaan ke arah gawang Arsenal pada separuh masa pertama dan meskipun tampil lebih agresif selepas rehat, barisan pertahanan The Gunners kekal ampuh untuk mencatat rekod bersih ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal mengumpul 25 mata selepas 10 perlawanan, tujuh mata di hadapan Bournemouth yang berada di tangga kedua dan akan beraksi awal pagi Isnin. Burnley pula kekal di kedudukan ke-17 dengan 10 mata.
Salah bantu Liverpool tamat rentetan kekalahan
Liverpool menamatkan deretan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris selepas Mohamed Salah menjaringkan gol ke-250 bersama kelab itu dalam kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield.
Gol bersejarah penyerang Mesir itu hadir selepas kesilapan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez, manakala rembatan Ryan Gravenberch yang terkena pertahanan lawan memastikan kemenangan penting buat skuad bimbingan Arne Slot.
Kemenangan itu melonjakkan juara bertahan berkenaan ke tangga ketiga liga dan meredakan tekanan selepas tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.