
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, menolak sepenuhnya cadangan agar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau menegaskan pengiktirafan UEC dianggap penghinaan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Saya menolak pengiktirafan UEC bukan kerana anti Bahasa Mandarin, malah saya percaya Bahasa Mandarin sangat penting untuk dikuasai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Namun, jika UEC didesak untuk diiktiraf setaraf sijil rasmi peperiksaan awam lain seperti SPM dan STPM, cadangan itu harus ditolak dengan tegas.
Anuar, yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), menambah bahawa mengiktiraf UEC mungkin salah di sisi undang-undang, di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Pengiktirafan UEC Adalah Penghinaan
Beliau berkata desakan untuk UEC diiktiraf Perdana Menteri telah menimbulkan kegelisahan dan perbalahan dalam kalangan rakyat.
Pihak yang mendesak ini kemudiannya akan berdiam diri seolah-olah tiada apa berlaku, sedangkan tindakan mereka telah mencalarkan perasaan banyak pihak.
Desakan untuk UEC diiktiraf akan muncul lagi apabila perlu, yang merupakan corak berulang sejak Julai 1959.
Ketika itu, berlaku pertelingkahan antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Presiden kedua MCA, Lim Chong Eu.
Pada Julai 1959, Lim Chong Eu menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman mendesak dua perkara, termasuk pengiktirafan peperiksaan sekolah Cina persendirian.
Beliau mengugut ahli MCA akan memboikot Parti Perikatan yang diketuai UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) pertama selepas merdeka, iaitu pada tahun 1959.
Status Bahasa Melayu Tidak Boleh Dipinggirkan
Tunku Abdul Rahman terkejut dan terpaksa memanggil perhimpunan khas UMNO, yang sebulat suara menolak tuntutan MCA.
Perwakilan UMNO ketika itu bertegas bahawa kedudukan Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan, walaupun risiko UMNO kalah pilihan raya.
Benar, boikot itu berlaku pada PRU 1959, di mana calon UMNO tidak diundi penyokong MCA dan ramai hampir kalah.
Ini menunjukkan contoh provokasi dan desakan bertalu-talu yang berlaku dalam sejarah UEC sejak 1959.
Anuar menegaskan, negara yang mahu membina negara bangsa berjiwa kebangsaan tidak akan membenarkan sekolah vernakular dalam sistem kebangsaan mereka.
Negara yang mempertahankan bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan dan perpaduan tidak akan membenarkan kewujudan sekolah vernakular yang dibiayai kerajaan.
Beliau mengkritik, toleransi pemimpin Melayu negara ini sejak merdeka sangat tinggi, sehingga adakala toleransi ‘berlebihan’ ini merimaskan orang Melayu sendiri.
Tambahnya, tiada negara di dunia yang mengiktiraf sekolah vernakular Cina dan Tamil, memasukkannya dalam sistem pendidikan kebangsaan, serta menyediakan peruntukan tahunan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.