
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang sengaja mencetuskan api perkauman dan memainkan isu-isu sensitif bagi memecahbelahkan perpaduan negara.
Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara berundang-undang dengan peraturan yang tersusun dan tegas, dan sebarang pelanggaran undang-undang akan dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit. “Ini adalah negara berundang-undang — ia mempunyai peraturan. Kementerian Perpaduan diwujudkan kerana, bagi saya, politik perlu stabil,” katanya pada program Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.
Anwar menegaskan bahawa kita perlu mencontohi dan belajar daripada negara lain dalam usaha memantapkan keselamatan dan keharmonian. “Tiada negara di dunia yang selamat apabila soal kebencian kaum atau agama timbul,” katanya.
Beliau menyampaikan kenyataan itu ketika menjawab soalan seorang mahasiswa mengenai usaha kerajaan memperkukuh agenda penyatuan nasional dan membanteras fahaman perkauman daripada terus berakar umbi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kestabilan politik dan perpaduan nasional kekal sebagai agenda utama kerajaan. “Tiada negara yang selamat jika suara kebencian terhadap kaum dan agama dibiarkan berleluasa. Kita mesti bertindak tegas supaya api perkauman tidak ditiup oleh mana-mana pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar memuji tahap kesedaran generasi muda yang prihatin terhadap usaha memelihara perpaduan negara. “Harapan saya cerah apabila melihat golongan muda hari ini berfikiran matang dan positif mengenai perpaduan. Namun kita perlu sedar masih ada pihak yang cuba menghasut dan memutarbelitkan fakta,” katanya.
Mengambil contoh kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, Anwar menegaskan kerajaan tidak menyorokkan fakta atau melindungi mana-mana pihak. “Jika melibatkan pembunuhan atau buli, saya tidak kira anak siapa — jika terbukti bersalah, kita akan siasat dan dakwa,” katanya