Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menghormati keputusan Umno membayar denda RM50 juta dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Beliau berkata, keputusan berkenaan adalah hak Umno, manakala proses undang-undang serta keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati selaras dengan prinsip Perlembagaan.
Anwar tidak setuju secara peribadi
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan bahawa beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana berpendapat prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus dipertahankan.
“Dari pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana sementara kita ada semangat persahabatan dengan Najib, tapi itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas Ampang, di sini, hari ini.
Didik generasi muda tolak rasuah
Anwar berkata, pendirian itu penting bagi memastikan generasi muda terus dididik dengan nilai integriti serta kefahaman mengenai kesan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Apa yang kita nak didik pada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menghormati proses perundangan serta prinsip Perlembagaan, termasuk perkara berkaitan ihsan Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, keputusan Umno membayar denda berkenaan adalah hak parti itu, manakala pendirian peribadinya mengenai perkara tersebut sudah dinyatakan.
Umno sahkan pembayaran selesai
Terdahulu, Umno mengesahkan sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu untuk membantu bekas Presiden Umno itu sudah mencapai sasaran dan mencukupi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.