
Bersatu berisiko kehilangan antara 10 hingga 12 kerusi Parlimen yang berkemungkinan besar beralih kepada PAS, khususnya di kawasan majoriti Melayu, sekiranya kemelut pelantikan pengerusi Perikatan Nasional gagal diselesaikan.
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, berkata kekuatan sebenar PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 banyak didorong oleh jentera serta sokongan akar umbi PAS, sekali gus meletakkan Bersatu dalam kedudukan paling terdedah jika berlaku perpecahan dalam gabungan itu.
“Saya berpandangan sekiranya PN berpecah, Bersatu yang akan paling terkesan. Secara anggaran, Bersatu berisiko kehilangan sekitar 10 hingga 12 kerusi yang berkemungkinan besar beralih kepada PAS, terutama di kawasan majoriti Melayu,” katanya kepada FMT.
Cadangan PAS bertanding solo
Syaza mengulas cadangan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, supaya PAS bertanding secara solo sekiranya jalan damai gagal dicapai dalam menyelesaikan kemelut pelantikan pengerusi PN selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 1 Jan lalu.
Pada PRU lalu, Bersatu bertanding di 74 kerusi Parlimen, dengan 69 kerusi menggunakan logo PN manakala lima lagi bertanding atas tiket PAS di Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Ketereh.
Beliau berkata cadangan tersebut hanya akan merugikan Bersatu memandangkan sejarah menunjukkan PAS mampu bertahan dan mencatat keputusan memberangsangkan walaupun bertanding tanpa gabungan politik.
Kekuatan PAS dan kelemahan Bersatu
Syaza berkata pada 2018, PAS berjaya memenangi 18 kerusi Parlimen walaupun bertanding secara solo, sekali gus muncul sebagai kuasa ketiga ketika ramai menjangkakan parti itu akan tersingkir.
Menurutnya, pada PRU 2022 pula, kekuatan PN jelas berpunca daripada sokongan akar umbi dan jentera PAS yang kukuh, malah banyak kerusi yang dimenangi Bersatu turut dipengaruhi faktor PAS apabila bertanding menggunakan logo parti itu.
Pandangan itu dikongsi Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri yang berkata sejarah membuktikan PAS mampu berdiri sendiri dan kekal relevan, merujuk kejayaan parti itu menguasai Kelantan dan Terengganu pada PRU 1959 dan 1969 tanpa bergantung kepada rakan gabungan.
Beliau berkata sekiranya PAS bertanding solo pada PRU16, parti itu berpotensi mengekalkan dominasi di kubu tradisi dan menambah kerusi melalui naratif Islam, Melayu dan integriti politik.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu turut merujuk prestasi Bersatu dalam beberapa pilihan raya kecil sepanjang tiga tahun kebelakangan ini yang disifatkan tidak memberangsangkan, sekali gus mencerminkan kelemahan jentera serta sokongan akar umbi.
Katanya, dengan kekuatan akar umbi dan rekod kemenangan terdahulu, PAS berpotensi muncul sebagai kuasa ketiga dalam pembentukan kerajaan pusat dan menjadi penentu penting dalam landskap politik nasional.