
Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan senarai calon untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet baharu Negeri Sabah.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu dan berkata kerajaan negeri telah meminta parti-parti pendukung mengemukakan calon masing-masing untuk dipertimbangkan bagi pelantikan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas prestasi BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik di Sabah agar pembangunan negeri dapat diteruskan, termasuk rancangan berkaitan bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan raya.
“Bagi PRN Sabah, pembentukan kerajaan akan dilakukan secepat mungkin. Kita menghargai kerjasama pelbagai parti selain GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang berjalan dengan baik.
“Malah, saya sendiri telah menghubungi Ketua Menteri baharu Hajiji Noor serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan politik di Sabah,” katanya selepas menghadiri taklimat ringkas mengenai bencana banjir di Bagan Datuk hari ini.
“Yang penting, kesejahteraan rakyat serta aspirasi Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Selepas PRN Sabah ke-17, Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan bahawa BN bersedia bekerjasama dengan parti-parti sehaluan untuk membentuk kerajaan baharu, demi memastikan kestabilan politik negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.