
Sayap Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak sokongan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas pelantikan Pengerusi GRS, Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Dalam satu kenyataan, sayap itu berkata GRS sebenarnya sudah mempunyai majoriti yang selesa untuk membentuk pentadbiran negeri, iaitu 29 kerusi daripada GRS, lima ADUN Bebas, tiga daripada Upko, masing-masing satu kerusi daripada Pakatan Harapan dan KDM, serta dua kerusi milik STAR.
“Keputusan pengundi mesti dihormati. Rakyat Sabah jelas menzahirkan penolakan terhadap penyertaan BN dalam kerajaan negeri, dan sebarang percubaan untuk mengenepikan mandat rakyat adalah tidak wajar,” katanya.
Sayap Pemuda itu menegaskan pengalaman lalu seharusnya dijadikan pengajaran, khususnya pergolakan politik pada tahun 2023 yang dikaitkan dengan BN melalui gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’, yang telah menjejaskan kestabilan politik serta keyakinan rakyat.
Menurutnya, komposisi semasa wakil rakyat dalam kerajaan GRS Plus sudah pun kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sokongan tambahan daripada parti yang telah ditolak oleh rakyat.
Sayap Pemuda PGRS turut mengingatkan bahawa BN sebelum ini sendiri enggan bekerjasama dengan GRS dan malah melancarkan serangan politik terhadap GRS serta kepimpinan Ketua Menteri.
“Maka adalah tidak munasabah untuk BN kini menuntut untuk turut serta dalam kerajaan,” jelasnya.
Sayap itu menegaskan keutamaan kerajaan negeri sepatutnya tertumpu kepada memastikan kestabilan politik, memperkukuh tadbir urus dan mempercepat pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayan manuver politik atau tuntutan yang tidak mempunyai mandat jelas daripada rakyat.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan BN telah menyatakan sokongan kepada pembentukan kerajaan Sabah dengan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata gabungan itu bersedia bekerjasama dengan parti-parti yang “sealiran” bagi membentuk kerajaan negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.