Presiden Bolivia, Rodrigo Paz menandatangani dekri pada Sabtu bagi mengisytiharkan darurat negara untuk menangani kesan fenomena El Nino.
Paz berkata beliau menandatangani dekri itu bagi menangani kemarau yang melanda beberapa wilayah negara berkenaan serta membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir dalam beberapa bulan akan datang.
Presiden itu berkata langkah berkenaan bertujuan menggerakkan sumber kewangan dan tenaga manusia, memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan serta mendapatkan kerjasama antarabangsa bagi membantu keluarga terjejas dan mengurangkan kesan bencana berkaitan iklim terhadap kehidupan rakyat serta kegiatan ekonomi.
Paz berkata sebanyak 63 komuniti di Bolivia telah terjejas akibat kemarau, manakala sektor penternakan turut berdepan kekurangan makanan haiwan.
Timbalan Kementerian Pertahanan Awam Bolivia pada Rabu memaklumkan bahawa hampir 80,000 keluarga di enam daripada sembilan wilayah pentadbiran negara itu terjejas akibat kekurangan bekalan air, dengan kemarau menyebabkan lebih 75,000 ekor ternakan mati.
El Nino ialah fenomena iklim yang dicirikan oleh peningkatan suhu luar biasa air permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, yang sering menyebabkan corak cuaca tidak normal di banyak kawasan dunia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.