
Kerjasama politik antara Sabah dan Sarawak menerusi penjenamaan blok Borneo menjelang PRU16 diyakini mampu memperkukuh kuasa tawar-menawar kedua-dua negeri di peringkat persekutuan, menurut penganalisis politik.
Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak mencadangkan agar semua parti tempatan bergabung dan menumpukan usaha memperkasa agenda serta kedudukan masing-masing demi kepentingan wilayah Borneo.
Menurutnya, penggabungan itu wajar disertakan dengan manifesto bersama yang mampu memacu pelaksanaan perkara yang masih tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963, MA63.
Beliau mengulas gesaan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah, Armizan Mohd Ali, supaya Sabah dan Sarawak membentuk blok bersatu yang teguh, bukan sekadar mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan, tetapi berperanan sebagai penggerak agenda utama di Putrajaya.
Keperluan mekanisme dan terma jelas
Dugun berkata cadangan membentuk blok tersebut perlu disusuli dengan mekanisme pelaksanaan yang telus dan teratur.
“Ia harus disertakan dengan terma rujukan yang jelas supaya memberi manfaat kepada semua pihak. Buat masa ini, perkara paling utama adalah memperjuangkan penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri,” katanya.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berpandangan kenyataan Armizan tepat pada masanya memandangkan politik di peringkat persekutuan tidak lagi didominasi oleh satu parti tunggal.
Menurutnya, secara teknikal kerjasama antara GRS dan Gabungan Parti Sarawak, GPS, sudah pun wujud secara tidak formal di bawah payung kerajaan perpaduan.
Cabaran dominasi kerusi dan penyelarasan
Lee berkata cabaran lebih besar kini terletak pada GRS untuk mendominasi kerusi Parlimen di Sabah bagi memastikan daya tawar-menawar mereka setaraf GPS.
“Cabaran GRS adalah memastikan mereka mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk blok yang kuat. Sabah memerlukan model politik berasaskan kepercayaan dan bukannya tikam belakang.
“Blok Borneo ini boleh membuat persefahaman untuk bertindak sebagai satu entiti undi di Parlimen selepas keputusan pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya penggabungan itu disusuli dengan penubuhan sekretariat atau jawatankuasa penyelaras bagi mengelakkan percanggahan pendirian antara kedua-dua wilayah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, sokongan hanya wajar diberikan kepada gabungan di Semenanjung yang bersetuju secara bertulis, sama ada melalui akta atau pindaan Perlembagaan, terhadap tuntutan hak wilayah termasuk pulangan hasil 40 peratus dan satu pertiga kerusi Parlimen.
“Kedua-dua wilayah Borneo tidak meminta lebih, sekadar menuntut hak yang telah dinafikan selama ini,” katanya.
Sabah dan Sarawak kini memiliki 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dengan Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.