
Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata jawatankuasa itu akan meneliti keseluruhan kandungan RUU berkenaan termasuk mekanisme akauntabiliti pendakwa raya serta mencadangkan pindaan yang difikirkan perlu.
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut dikehendaki menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan pindaan dalam tempoh tiga bulan, dan tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya perlu.
Usul merujuk RUU tersebut kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti Ahli Parlimen. Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, memaklumkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 54(2), usul berkenaan hendaklah diputuskan tanpa pindaan dan tanpa perbahasan.
Sokongan pembangkang
Sementara itu, Takiyuddin Hassan berkata semua Ahli Parlimen pembangkang menyokong usul yang dibawa Azalina untuk merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Beliau menyifatkan pendekatan tersebut sebagai amalan yang wajar dilaksanakan kerajaan, manakala pembangkang memainkan peranan sebagai semak dan imbang.
Keanggotaan jawatankuasa
Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dianggotai Azalina, William Leong (PH-Selayang), Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Lo Su Fui (GRS-Tawau).
Turut disenaraikan ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Hamzah Zainudin (PN-Larut), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).
Cadangan utama pindaan
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lalu.
Sebelum ini, Azalina memaklumkan cadangan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya bertujuan memperkukuh prinsip kebebasan institusi serta memastikan ketelusan dan keadilan dalam sistem perundangan negara.
Antara cadangan utama termasuk pelantikan pendakwa raya oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, selain pemberian kuasa pendakwaan.
RUU tersebut turut memperincikan kedudukan pendakwa raya setara dengan peguam negara dari segi hierarki dan perkhidmatan, serta menetapkan syarat kelayakan minimum iaitu sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam litigasi dan tempoh lantikan selama tujuh tahun.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.