
“Saya rasa bukan tangan ghaib, tetapi tangan yang nampak terang,” kata Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai dakwaan wujud campur tangan pihak tertentu dalam krisis adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkembangan politik di negeri itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap prinsip demokrasi dan Perlembagaan, terutama dalam pembentukan kerajaan negeri.
Hadi: Tak hormati demokrasi
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan amat membimbangkan. Kita menyaksikan bagaimana kerajaan negeri dibentuk melalui parti yang dipilih dalam pilihan raya.
“Parti berkenaan setuju tubuhkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kemudian saya difahamkan UMNO yang berada dalam BN tidak lagi mahu bekerjasama dengan PN.
“Keadaan itu menimbulkan masalah kepada kerajaan yang dibentuk secara demokrasi sehingga timbul isu pemecatan dan kawalan terhadap pejabat.
“Di mana demokrasi? Tak hormati demokrasi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Rosol Wahid (PAS-Hulu Terengganu) mencelah perbahasan Abdul Hadi dan bertanyakan pandangan mengenai huru-hara yang berlaku di Negeri Sembilan. Menurutnya, ada tangan ghaib terbabit dan menafikan suara demokrasi rakyat di negeri berkenaan.
Raja Berperlembagaan dan federalisme
Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut membangkitkan persoalan mengenai amalan Raja Berperlembagaan dan kepentingan memastikan semua pihak bertindak mengikut kerangka Perlembagaan.
“Sistem demokrasi yang diamalkan negara perlu memastikan suara rakyat dihormati dan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme turut dipelihara.
“Sebarang campur tangan yang menjejaskan prinsip berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap sistem pemerintahan negara, hormati peranan institusi berkaitan termasuk mahkamah,” katanya.
Amirudin: Mitos baharu
Sementara itu, Amirudin Shari (PH-Gombak), yang turut berbahas RUU yang sama, membidas dakwaan campur tangan PH dalam krisis adat Negeri Sembilan. Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai mitos baharu.
“Apa yang disebut Marang (Abdul Hadi) tadi adalah ‘new myths’, DAP mengawal PH… PH menyebabkan kekacauan dan kekeliruan.
“Saya pun tak tahu, tapi saya kata saja kalau BN dan PN berkuasa di Negeri Sembilan, masalah Kesultanan di Negeri Sembilan itu selesai. Nampaknya, makin haru-biru dan makin kelam-kabut,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.