
Perancis akan melaksanakan perintah berkurung separa di beberapa kawasan mulai petang Isnin susulan insiden menjarah semasa protes pada hujung minggu lalu, menurut Perdana Menteri Sebastien Lecornu, lapor Xinhua.
Dalam sidang media, Lecornu berkata beliau meminta pegawai wilayah melaksanakan “beberapa perintah berkurung separa seawal petang ini”. Beliau menyifatkan kekacauan itu sebagai “sangat tertumpu di kawasan bandar tertentu”.
Tindakan itu diambil selepas demonstrasi hujung minggu lalu mencetuskan keganasan jalanan terburuk di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Penunjuk perasaan turut menyekat pintu masuk Muzium Louvre di Paris ketika membantah kenaikan kos sara hidup.
Perintah berkurung di empat bandar
Pejabat Lecornu memaklumkan perintah berkurung akan dikuatkuasakan dari pukul 8 malam hingga 6 pagi pada Isnin dan Selasa di empat bandar di utara negara itu, termasuk Lille.
Langkah itu bertujuan melindungi premis perniagaan menjelang satu lagi siri demonstrasi pada Sabtu ini. Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan peta terperinci kawasan terlibat pada tengah hari Isnin.
Lecornu berkata darurat akan diisytiharkan “jika perlu”, tetapi perintah berkurung “dilihat lebih sesuai”. Menurut laporan, beliau turut mempertimbangkan pengisytiharan darurat selepas Menteri Dalam Negeri berkata polis gagal mengawal keadaan ketika rusuhan berlaku.
“Tidak timbul soal membiarkan kegiatan menjarah berterusan,” katanya. “Saya benar-benar bertekad untuk memulihkan ketenteraman awam.”
Bantuan untuk peniaga terjejas
Lecornu berkata langkah pengurangan waktu bekerja sementara akan dikuatkuasakan mulai Selasa bagi peniaga yang terjejas akibat kerosakan dan penjarahan.
Kerajaan juga akan menyediakan bantuan kewangan awam untuk menyokong perniagaan terbabit. Namun, beliau menegaskan bantuan sedemikian “tidak bermakna jika kita tidak mampu memulihkan ketenteraman secepat mungkin”.
Menteri Perdagangan Serge Papin menganggarkan sekurang-kurangnya 3,000 perniagaan terjejas semasa protes hujung minggu itu.
Sementara itu, Presiden Emmanuel Macron menolak peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, susulan rusuhan besar-besaran sepanjang hujung minggu lalu.
Pejabat Presiden Élysée memaklumkan Macron mahu Nunez kekal menerajui kementerian itu bagi memastikan rantaian arahan dalam pasukan polis dan keselamatan tidak terjejas. Macron turut mengarahkan Nunez segera merangka pendekatan baharu bagi menangani kegiatan menjarah premis perniagaan.
Dari tuntutan pelajar kepada keganasan jalanan
Kira-kira 500,000 hingga 550,000 orang menyertai protes di seluruh Perancis pada Sabtu, berdasarkan laporan yang berbeza. Bantahan itu memuncak selepas empat minggu demonstrasi yang bermula dengan tuntutan pelajar supaya keadaan di sekolah menengah ditambah baik.
Rusuhan itu tercetus susulan kemarahan orang ramai terhadap peningkatan kos sara hidup, kemerosotan perkhidmatan awam serta keadaan sekolah.
Demonstrasi yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas di beberapa lokasi. Kumpulan bertopeng menyerang anggota penguat kuasa, menceroboh dewan bandar raya serta bangunan awam lain, dan membakar sebahagian premis berkenaan. Kedai-kedai turut dirompak dan bangunan diconteng.
Seramai 2,397 orang ditahan dalam protes itu, menurut angka Kementerian Dalam Negeri Perancis pada Ahad. Seramai 997 anggota polis dan “gendarmes” cedera, tujuh daripadanya mengalami kecederaan serius.
Ketegangan berterusan pada Ahad apabila pertempuran kembali tercetus di Paris dan Marseille. Polis rusuhan dikerahkan di kedua-dua bandar itu bagi menghalang kumpulan perusuh menjarah premis perniagaan.
Ketegangan ini tercetus enam bulan sebelum Perancis mengadakan pilihan raya bagi memilih pengganti Macron.
Beberapa negara Eropah lain turut menyaksikan demonstrasi berhubung kenaikan harga. Pergaduhan kecil berlaku di Milan, Itali dan Belgium pada hujung minggu lalu, manakala bantahan masih berlarutan di Sepanyol dan Portugal.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.