
Pemimpin Bersama Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengelak daripada menangani isu yang lebih besar berhubung dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rafizi menzahirkan rasa kecewa terhadap respons Anwar kepada soalan mengenai isu itu di Dewan Rakyat hari ini. Menurutnya, dakwaan berkenaan bukan sekadar tuduhan rasuah atau salah guna kuasa biasa.
Persoalan pokok tidak dijawab
“Skandal mafia korporat merujuk kepada pendedahan bahawa ada kumpulan di agensi penguatkuasaan, iaitu SPRM dan polis, yang dituduh bersekongkol dengan sekumpulan ahli perniagaan untuk mengugut ahli perniagaan lain menyerahkan syarikat mereka.
“Tuduhan ini luar biasa kerana ia mempersoalkan sama ada kumpulan jenayah haram telah menyusupi agensi penguatkuasaan.
“Persoalan pokok mengenai mafia korporat tidak disentuh atau dijawab langsung oleh Anwar di Parlimen hari ini,” kata bekas timbalan presiden PKR itu dalam kenyataan.
Jawapan Anwar di Dewan Rakyat
Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan mewarisi sistem yang tidak telus. Sistem itu, katanya, membenarkan jenayah korporat dan manipulasi pasaran berlarutan tanpa sekatan selama berdekad-dekad.
Beliau berkata, kelemahan sistem terdahulu menyebabkan tindakan penguatkuasaan jarang diambil dalam kes berprofil tinggi yang membabitkan kerugian berbilion ringgit. Antaranya ialah pengambilalihan korporat dan transaksi perbankan yang didakwa dipengaruhi campur tangan politik.
Anwar turut mendakwa beberapa kes berkaitan kegiatan yang digelar mafia korporat mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kewangan berpengaruh yang menguasai sumber kewangan besar.
Dakwaan RM9.5 juta
Pada masa sama, Anwar menafikan dakwaan bahawa seorang menteri menerima RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan. Beliau menyifatkannya sebagai kenyataan berunsur politik yang tidak berasas, dan menambah bahawa menteri itu telah membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Walaupun Anwar tidak menamakan menteri terbabit, individu yang dituduh menerima RM9.5 juta itu ialah Menteri Sumber Manusia R Ramanan.
Bagaimanapun, Rafizi mempersoalkan sama ada Ramanan benar-benar memulakan sebarang tindakan mahkamah, memandangkan setakat ini tiada sebarang laporan mengenainya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.